Haissazc Shuqkin Hisham – Jadilah Mahasiswa yang Pijak pada Bumi

 Oleh: Haissazc Shuqkin Hisham

Aku sedar dalam seminggu ini, wujud perbalahan penulisan daripada beberapa rakan mahasiswa; Rahman, Izzah, Suhail, Mukmin dan terbaru daripada Jefry. Jujur aku katakan, aku pening dengan perbalahan kamu semua berikutan perkataan yang terlalu kompleks untuk otak aku yang straightforward ini untuk memahamkan hujah-hujah yang kamu semua pertikaikan antara satu sama lain. Cuma aku faham persoalan yang kamu semua pertikaikan adalah persoalan yang telah lama dicucuk yang masih tidak tembus; hayat gerakan mahasiswa.

Mukmin selalu bersoal; apakah gerakan mahasiswa sudah mati di Semenanjung? Di manakah kubur Kesatuan Mahasiswa Malaysia? Jawabku pada kau; Iya, kita sudah mati, cuma tidak mahu masuk kubur kerana malu belum capai objektif yang dilihat mahu capai objektif yang sama seperti gerakan mahasiswa zaman 60-an & 70-an dulu iaitu berbakti kepada MASYARAKAT!

Aku setuju dengan Rahman bahawa sebelum mahu menggegar dunia dengan perkara besar, harus dibina dulu asas-asas kecil untuk wujudnya kemampanan ‘sustainability’ dalam usaha menggerakan mahasiswa sebagai unit yang mempunyai objektif yang kukuh dan berpendirian. Onani, peluk, cumbu atau apa jua jenis bentuk ‘kemaksiatan’ untuk terus melekat sebagai satu unit itu tak pernah salah namun yang salah jika bercumbu pada benda atau sasaran yang salah tanpa tahu cara mahu bercumbu dengan betul.

Maka, sebelum mahu jadi acah-acah Hishamuddin Rais, mahu acah-acah wujud gerakan mahasiswa di luar seperti di Hong Kong, atau Amerika Syarikat pada saat ini yang mengadvokasikan kawalan senjata (guns control), jadilah mahasisa yang pijak pada bumi! Bina dulu asas kecil dengan rakan siswa, berkasih lah dengan mereka dengan buku-buku yang mencetuskan rasa ingin tahu untuk berbakti kepada masyarakat (sekarang aku sudah mula mahu menulis berbunga-bunga pula)

Adakah wujudnya Mortar Movement ini tepat pada masanya untuk menghidupkan kembali ruh mahasiswa yang tersekat di langit dan jasad yang tidak diterima bumi? Mungkin ya, mungkin tidak, mungkin tidak relevan. Cuma apa yang aku tahu, kamu semua punya rakan-rakan yang punya cita-cita untuk mengungguli gerakan mahasiswa, jadilah pulanglah ke kampus kamu semua dan kukuhkan gerakan mahasiswa kalian. Aku di sini sedang cuba untuk melakukan perkara yang sama sebelum aku melangkah keluar dunia kampus ini dalam masa sebulan lebih lagi dari saat ini.

Usah kita sibuk dengan cara Mortar Movement mahu jalankan objektif mereka. Mahu bawa Fahmi Reza ke, mahu bawa aku sekalipun, mereka punya matlamat yang tetap. Kita harus lihat cubaan ini sebagai penanda untuk kita bawa gerakan mahasiswa di setiap kampus masing-masing. Iya, Fahmi Reza sudah punya agenda perjuangannya yang tersendiri, namun jangan pernah cuba nafikan dokumentari yang beliau hasilkan banyak bagi kesedaran bahawa gerakan mahasiswa di Malaysia itu wujud dan berimpak!

“You may never know what results come of your actions, but if you do nothing, there will be no results.” – Mahatma Gandhi

Sejarah itu fakta yang harus dijadikan sebagai panduan untuk manusia hari ini. Cuma kalau dihadamkan begitu sahaja tanpa cuba mahu memadankan dengan realiti hari ini, ia nampak agak dangkal kerana mahasiswa harus sentiasa berani untuk ubah cara, bukan ambil inspirasi semberono begitu saja.

Oh lagi satu, perbalahan kalian ini adakah akan terhenti di sini saja? Adakah terhenti di saat gelaran mahasiswa sudah dilucutkan? Anda semua bicara tentang kelangsungan gerakan dan ideologi mahasiswa, maka buktikan pada aku bahawa kalian akan tetap jadi mahasiswa selepas ditarik nyawanya.

Sekian dari mahasiswa di tanah bumi penyu.

Leave a Reply