Kami di edu-hub Pagoh adalah mahasiswa tertindas dan terpinggir oleh pengurusan kulliyyah sendiri.

Dengan jumlah pelajar kurang lebih 900 orang, kami dipaksa dan ditekan untuk berkongsi cuma 2 buah bas. Itulah bas ke kelas, itulah bas ke program luar kampus, itulah bas ke bandar Muar dan itulah bas untuk segala-galanya.

Setiap awal pagi kami terpaksa bersesak-himpit lelaki dan perempuan seperti ikan sadin busuk untuk ke kelas. Mana yang sempat menyelit, sempatlah. Mana yang tak sempat, mereka terpaksa berjalan kaki ke kampus hampir 2 kilometer atau menunggu bas tersebut balik semula ke kolej kediaman.

Kerana itulah masalah lambat ke kelas kerana pengangkutan adalah perkara biasa.

Belum kira jika bas rosak. Semester ini sahaja entah berapa kali bas kami rosak kerana menampung lebihan penumpang setiap hari. Hal ini diakui sendiri oleh pemandu bas.

Pimpinan Persatuan Pelajar Kuliyyah telah ke kampus utama di Gombak untuk meminta tambahan bas, namun sekembalinya ke Pagoh, pihak Pengurusan Tertinggi Kulliyyah di berkeras mengatakan permintaan kami itu tidak pernah munasabah. Dan barangkali pemintaan itu dibatalkan serta merta.

Dan hari ini seorang pensyarah berjawatan penting dalam kulliyyah mengeluarkan kenyataan sebegini kepada pelajar (rujuk gambar di atas).

Anda nilailah sendiri tahap sifat ihsan dan belas kasihan beliau kepada pelajar-pelajar. Saya tidak tahu bagaimana orang yang sombong dan tidak mempunyai hati begini boleh berada dalam jawatan penting di kulliyyah dan kolej kediaman pelajar.

Suruh pelajar berjalan kaki 2 kilometer, tengah panas terik, dengan laluan tidak berbumbung, diluar kawasan pagar universiti? Waraskah kenyataan ini? Kita di Malaysia, bukan luar negara.

Buat pensyarah tersebut, anda tidak perlu belajar hingga ke seberang benua untuk memahami kesulitan hidup, tapi cukuplah anda menjadi seorang manusia.

Dahulu kulliyyah ini pernah menjadi tempat pergantungan pelajar, namun kenyataan pensyarah ini telah membuka wajah sebenar kulliyyah ini.

Bagi kami sebagai pelajar yang terhimpit, kulliyyah ini tidak lagi hidup kerana pelajar tapi mereka hidup kerana mengejar nama.

Pelajar cumalah diperlukan apabila ada hal-hal yang berkaitan nama dan populariti kulliyyah.

Tetapi tentang hal kebajikan dan fasiliti, nun jauh diseberang sana. Tidak dicakna, tidak dipeduli. Malah dipelekeh. Inilah suara-suara jujur yang sering diperkatakan oleh pelajar disini, cuma barangkali tidak didengari oleh pihak atasan – atau mereka memilih untuk tidak mendengar.

Buat teman-teman mahasiswa, dengarlah suara kami ini. Sampai-sampaikanlah luahan ini kepada teman-teman seperjuangan yang lain; agar kemanusian dan kebajikan di edu-hub Pagoh ,bumi tercinta, ini kembali membenih.

 

Leave a Reply