KUALA LUMPUR: Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Rabu menyertai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sekali gus menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi awam yang pertama melafazkan IBR di negara ini.

Lafaz IBR itu dketuai oleh pemimpin Pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM Amir Ridwan Idris yang disaksikan Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin pada majlis Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMAWAR) di UIAM, di sini malam tadi.

Zaleha dalam ucapannya berkata budaya memerangi rasuah harus dipupuk sejak dari awal seperti di universiti bagi mengekang gejala berkenaan daripada berleluasa.

“IBR ini menunjukkan komitmen mahasiwa UIAM untuk memerangi dan menjauhi segala bentuk amalan rasuah, ” katanya.

Sementara itu, Dzulkifli berkata mahasiswa merupakan golongan yang akan menerajui kepimpinan negara dan sehubungan itu mereka harus memastikan negara ini bebas daripada rasuah pada masa hadapan.

“Mahasiswa memainkan peranan penting dalam usaha memerangi rasuah. Saya berharap mahasiswa akan bersama-sama SPRM untuk tolak rasuah,” katanya.

Turut dilancarkan pada konvensyen berkenaan ialah Gerakan Mahasiswa Anti Rasuah (GEMA), iaitu program yang menjalankan pelbagai kempen anti rasuah untuk menyuntik kesedaran tentang perlunya mahasiswa menghindari gejala rasuah.

— BERNAMA

Leave a Reply