Isu makan malam kolej kediaman telah pun dibincangkan bertahun-tahun dan harapan mahasiswa masih tidak lagi ditunaikan. Setiap tahun, yuran sebanyak RM120 akan “dicuri” dari akaun mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman.

Pelbagai alasan  telah pun diberikan oleh pihak universiti dan MPP Penggerak untuk mempertahankan bayaran secara paksaan yang dikenakan. Sedihnya, alasan yang diberi adalah tidak masuk akal dan tidak menyakinkan.

Alasan pertama, kos penginapan dan yuran dinner adalah RENDAH dibandingkan dengan kos penginapan di luar kampus?

Alasan yang diberikan ini adalah tidak munasabah. Kalau kita mengikut logik tersebut, adakah kita boleh memaksa orang di sekililing membayar untuk sesuatu barang yang harganya RENDAH daripada harga pasaran tanpa bertanya keinginan mereka untuk membelinya? Jawapannya tentulah tidak!

Kita perlu faham apakah erti  “institusi awam”. Kewujudan “institusi awam” adalah insitusi yang diberi sokongan kewangan oleh kerajaan yang bermatlamat mengurangkan beban rakyat dan menjaga kebajikan rakyat. Kita boleh lihat institusi awam lain seperti hospital juga merupakan pemberi perkhidmatan kos rendah kepada orang awam. Ini adalah tanggungjawab kerajaan dan institusi awam.

Malangnya, pihak universiti telah mnenggunakan cara dan alasan ini untuk mencuba mengaut keuntungan daripada mahasiswa. Pihak universiti tidak faham situasi mahasiswa yang sentiasa bimbang akan kos sara hidup yang melibatkan makanan dan tempat untuk menginap. RM120 bukanlah jumlah yang kecil bagi mahasiswa yang tidak mempunyai gaji, dan ia masih boleh digunakan di tempat yang diperlukan selain daripda menghadiri majlis mewah.

Alasan kedua, tujuan majlis makan malam kolej diadakan untuk melatih mahasiswa menghadiri majlis keramaian yang professional. Adakah ini penting?

Berdasarkan alasan yang diberikan, pengalaman dalam menghadiri majlis formal akan membantu dalam alam pekerjaan nanti, adakah ini benar?

Tanyalah diri sendiri, dalam proses mengambilan pekerja, majikan (employer) mempunyai minat untuk mengetahuai adab dan pengalaman anda dalam majlis formal, ataupun atas kemahiran pemikiran kritikal, kreatif dan bebas?

Universiti sepatutnya menjadi tempat yang menggalakkan mahasiwa untuk berfikir secara bebas, melatih mahasiswa membuat keputusan sendiri dan mendalami ilmu dalam bidang sendiri atau bidang lain tanpa sebarang sekatan. Universiti bukanlah sebuah tempat yang sentiasa mengehadkan kebebasan mahasiswa sedangkan kebebasan merupakan suatu elemen yang penting untuk mencipta sesuatu yang baru.

Tujuan utama masuk universiti adalah untuk menimba ilmu dalam bidang masing-masing, dan mahasiswa mempunyai hak yang sepenuhnya untuk menyertai aktiviti kampus atau tidak, mengikut kemampuan atau keinginan sendiri. Kita perlu ingat, manjadi seorang yang “professional” tidak boleh ditentukan daripada wajah luaran (seperti pakaian bergaya yang kacak ataupun majlis mewah), sebaliknya ia ditentukan oleh tahap ilmu seseorang dan mampu membuat keputusan yang baik dalam proses penyelesaian masalah dalam bidang tertentu.

Alasan  ketiga, mahasiswa bebas untuk tidak menghadiri kolej dinner jika menghantar surat permohonan ketidakhadiran dinner atas alasan yang munasabah.

Alasan ini telah menunjukkan pihak universiti dan MPP Penggerak tidak faham erti sebenar “kebebasan”. Jika mahasiswa diberi kebebasan, mengapakan masih perlu membuat permohonan untuk sesuatu perkara yang pada mulanya tidak diingini sertai? Siapakah yang tentukan skop “munasabah”? Jika alasan yang diberi adalah “tidak munasabah” atas tafsiran pengetua kolej, adakah mahasiswa masih perlu menghadiri kolej dinner(atas paksaan)?

Kebebasan yang sebenar adalah mahasiswa boleh menyertai aktiviti yang disukai dan setuju untuk menyertai sebelum nama didaftarkan. Kegiatan mahasiwa tidak perlu ditentukan oleh pihak berkuasa dan diberitahu sama ada betul ataupun tidak kerana mahasiswa perlu bebas dari aspek fizikal dan mental, seterusnya mampu berfikir dan membuat keputusan sendiri. Pihak universiti perlu hormat semangat dan autonomi mahasiswa.

Kami di sini bukanlah menolak penganjuran kolej dinner sedangkan kami beranggapan majlis makan malam kolej adalah pentas yang baik untuk menjalinkan hubungan baik antara penghuni kolej. Namun, proses penganjuran majlis makan malam kolej perlu diubah suai terutamanya dalam askpek kewangan. Proses tersebut perlu mempraktikkan ketelusan dan akauntabiliti, dan kebebasan mahasiswa untuk mengambil bahagian.

Konklusinya, kita sebagai mahasiswa berhak mengetahui akitivi kampus adalah berbaloi untuk mereka serta sebelum mereka membayar sebarang yuran. Kita perlu faham matlamat sebuah universiti kerana kesemua perkara yang kita harungi sekarang akan menentukan masa hadapan negara kita. Jadilah mahasiswa yang kritikal, bukan mahasiswa yang sentiasa mengangguk kepala.

 

Kon Hua En
Timbalan Pengerusi
UMANY

Leave a Reply