PULAU PINANG, 26 Februari 2018 – Buat pertama kalinya Universiti Sains Malaysia (USM) telah meluluskan dana khas berjumlah RM150,000 buat mahasiswa yang aktif di dalam persatuan, kelab dan badan beruniform bagi menganjurkan program ko-kurikulum yang bersesuaian dengan nilai H.E.B.A.T.

Berita baik ini telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang menyatakan universiti bersetuju memberikan sumbangan dana kepada mahasiswa untuk menganjurkan program dan aktiviti berdasarkan kriteria-kriteria yang selari dengan nilai H.E.B.A.T.

“H.E.B.A.T. singkatan kepada Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking antara agenda yang amat dititikberatkan oleh Naib Canselor USM bagi melahirkan mahasiswa berkualiti yang bukan hanya dapat memberi impak pada negara tetapi juga pada peringkat global,” katanya.

Tambah Adnan, pelajar dari mana-mana persatuan, kelab dan badan beruniform di bawah USM boleh memohon dana khas H.E.B.A.T. ini asalkan cadangan aktiviti dikemukakan itu difikirkan tepat dengan nilai kelima-lima atribut tersebut.

“Tujuan dana khas ini diwujudkan adalah bagi meningkatkan galakan mahasiswa menyahut agenda ini supaya mereka tidak sahaja menganjurkan sesuatu majlis atau aktiviti/program, tetapi memastikan ia adalah berimpak tinggi dan berkesan kepada mahasiswa, universiti dan juga negara,” katanya ketika merasmikan Program Sulalatus Peradaban Melayu Peringkat Kebangsaan, anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM (PSSCMUSM) yang diadakan di Dewan Budaya, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, turut diadakan perkongsian Wacana Manuskrip Melayu: Kewujudan Hang Tuah di China oleh Dr. Rohaidah Kamaruddin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Malam Sayembara Puisi Cekak di sebelah malamnya.

Selain itu, Adnan turut berharap dengan Penganjuran Program Sulalatus Peradaban Melayu, Wacana Manuskrip Melayu: Kewujudan Hang Tuah di China dan Malam Sayembara Puisi Cekak ini dapat mencerminkan tentang peranan PSSCMUSM dalam meneruskan tradisi memulihara warisan Melayu melalui aktiviti-aktiviti yang bersifat mengenali sejarah dan budaya Melayu keseluruhannya.

Yang turut hadir adalah Naib Presiden 1 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Prof. Madya Ar. Dr. Abdul Majid Ismail; Penasihat 1 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM, Prof. Madya Dr. Abdul Hafiz Abdul Majid dan barisan pengurusan tertinggi PSSCM cawangan utara serta Institut Pendidikan Tinggi dari seluruh negara.

SUMBER

Leave a Reply