MELAKA, 15 Feb: Sindiket pengedaran dadah di negara ini dikesan menyasarkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai antara pasaran semasa yang mudah ditembusi, khususnya untuk penjualan dadah sintetik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini kerana kebanyakan penuntut IPTS mempunyai kuasa membeli yang tinggi dengan kebanyakan mereka datang daripada keluarga berpendapatan tinggi, selain dadah tersebut sukar dikesan berdasarkan sifatnya tanpa penggunaan teknologi canggih.

Beliau berkata ramai antara mereka mengambil dadah tersebut untuk berhibur atau ketahanan diri seperti berjaga pada waktu malam untuk belajar, terutama menjelang musim peperiksaan.

“Fenomena penagihan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah berubah berbanding sebelum ini, termasuk jenis dadah yang diambil dan kesannya terhadap penagih terlibat.

“Kalau mereka mengambil dadah jenis ganja atau heroin kesan fizikal khususnya perubahan sikap dan keadaan khayal yang dialami akan lebih ketara berbanding dadah jenis sintetik,” katanya yang ditemui selepas melancarkan Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Pemadam Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif KAYM Datuk Saroni Judi.

Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Pemadam berkata kegiatan penyalahgunaan dadah pada peringkat sekolah juga dilihat amat membimbangkan kerana rekod terkini Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan kira-kira 2,100 murid sekolah rendah dan menengah daripada 178 sekolah di seluruh negara, didapati positif dadah.

Beliau berkata justeru, usaha bersepadu dan lebih agresif perlu dilaksanakan antara Pemadam dan AADK bagi mengekang penglibatan golongan itu dalam penyalahgunaan dadah secara berterusan.

Katanya antara usaha yang dilaksanakan termasuk melatih lebih ramai kader dalam kalangan anggota Kelab Mahasiswa Pemadam yang telah dan sedang diwujudkan di IPT seluruh negara secara berperingkat.

“Kader ini akan dilatih dengan ilmu berkaitan dadah dan cara menangani atau memulihkan individu terlibat dengan penyalahgunaan khususnya pada peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Sementara itu, Saroni berkata sebanyak 50 pelajar KAYM telah menyertai Kelab Mahasiswa Pemadam yang ditubuhkan di kolej berkenaan pada tahun lepas dan mereka akan membantu membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan penuntut kolej tersebut serta masyarakat setempat.

“Kita akan mewujudkan subjek kokurikulum Pemadam, yang bakal dilaksanakan pada peringkat diploma dan dijangka lebih 100 penuntut akan menganggotai kelab ini dalam masa terdekat,” katanya.—Bernama

Sumber

Leave a Reply