KUALA LUMPUR: Menerusi Bajet 2018, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan setiap pelajar pra-universiti dan universiti yang layak boleh menerima insentif RM250 menerusi baucer buku.

Bagaimanapun, jika dilihat kepada contoh pengagihan baucer tahun lepas, kerajaan dijangka akan mengkreditkan dana berkenaan terus ke akaun pelajar menerusi Bank Rakyat.

Tinjauan Astro AWANI mendapati golongan siswa berharap selain bantuan tunai, kerajaan dapat meneruskan program diskaun pelajar kepada pemegang Kad Debit-i Diskaun Siswa 1 Malaysia (KADS1M).

Berikut tiga perkara yang diinginkan mahasiswa untuk penambahbaikan kad siswa, terutamanya jika kerajaan berhasrat untuk membuka permohonan kepada pelajar baharu:

Pengurusan pengagihan lebih sistematik

Kerajaan diharap dapat meneruskan pengagihan KADS1M, bagaimanapun ia harus dibuat secara lebih sistematik.

Nur Najmi Zalina Jamal, 24 tahun, seorang mahasiswa jurusan Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) mencadangkan agar pihak bank mengeluarkan notis pemohonan kepada pelajar universiti pada setiap cuti semester bagi membolehkan permohonan diproses lebih awal dan dana dapat diagihkan pada awal semester.

Perkara sama turut dikongsikan Muhammad Nazrul Hakim Nazir, 23 tahun, yang merupakan seorang mahasiswa jurusan Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Kebanyakan pelajar sudah memulakan kuliah pada Februari dan September seterusnya tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengambil kad siswa di bank.”

Faedah khas bagi pemegang KADS1M

Bagi mengelakkan akaun bank dibiarkan begitu sahaja selepas wang dikeluarkan, Najmi mencadangkan agar pihak bank memperkenalkan kadar dividen khusus kepada pemegang KADS1M yang ingin menabung bersama-sama mereka.

Penjimatan petrol melalui penggunaan debit

Selain itu, bagi mengurangkan kos sara diri pelajar, kad debit ini disaran mempunyai keistimewaan lain khususnya untuk tujuan pengangkutan.

Mahasiswa yang menggunakan kad siswa ini secara debit di stesen minyak boleh mendapatkan diskaun tertentu di stesen minyak terpilih.

Bagaimanapun. kajian Universiti Malaya baru-baru ini menunjukkan rakyat memberikan reaksi berbeza terhadap inisiatif ini, dengan sambutan lebih besar diberikan penduduk luar bandar berbanding penduduk bandar.

Sebagai contoh, 85 peratus penduduk di Jerlun, Kedah amat menghargai inisiatif ini berbanding hanya 23 peratus penduduk di Kuching, Sarawak.

Tahun lalu, KADS1M diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Bank Rakyat.

SUMBER

Leave a Reply