Kami daripada pihak Mahasiswa Pakatan Harapan mahu mengucapkan ribuan tahniah kepada kesemua tenaga kerja universiti-universiti tempatan, kami berbangga dengan pencapaian Universiti Malaya yang kini dalam kalangan 50 universiti terbaik Asia menurut ranking ‘The Times Higher Education World University Rankings 2018’.

Dengan objektif untuk membawa kesedaran di kalangan golongan mahasiswa dalam perbincangan isu-isu nasional, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin menyuarakan pendapat berkait kenaikan ranking universiti tempatan baru-baru ini.

Berdasarkan kenyataan ‘The Times Higher Education World University Rankings’, institusi ini menghakimi universiti-universiti berdasarkan 13 faktor prestasi yang menyediakan perbandingan seimbang dalam kalangan universiti-universiti terpilih. 13 faktor prestasi ini boleh di kumpulkan kepada 5 bahagian, iaitu Persekitaran Pembelajaran (30 peratus), Penyelidikan (30 peratus), Petikan (30 peratus), Prospek Antarabangsa (7.5 peratus), dan Pendapatan Industri (2.5 peratus).

Bagaimana pula dengan ranking antarabangsa yang lain seperti Quacquarelli Symonds (QS) yang juga turut diperkatakan oleh menteri-menteri sebelum ini?

Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS)

1. Reputasi Akademik (40%)
2. Reputasi Majikan (hanya 10% & berdasarkan culaan kualitatif)
3. Nisbah Fakulti / Pelajar (20%)
4. Nisbah Petikan setiap fakulti (20%)
5. Nisbah Fakulti Antarabangsa (5%)
6. Nisbah Pelajar Antarabangsa (5%)

Berdasarkan Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS) dan The Times, kebanyakan institusi-institusi antarabangsa lebih memberi tumpuan kepada kualiti pendidikan dan reputasi universiti dalam mempertimbangkan ranking universiti yang dikeluarkan oleh mereka. Institusi-institusi ini tidak menitikberatkan faktor prestasi yang mungkin lebih bermakna kepada mahasiswa-mahasiswa dan graduan-graduan sebagai contoh kadar pengangguran dan purata gaji dalam kalangan graduan.

Besar kemungkinan, situasi ini yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan mahasiswa dan graduan yang semakin lantang dalam mempersoalkan keputusan ranking-ranking universiti tempatan. Ranking kian meningkat tetapi masih gagal dalam menghasilkan graduan-graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang memadai untuk membolehkan graduan mendapatkan pekerjaan di dalam pasaran buruh dan mendapat gaji yang setimpal dengan kelayakan dengan kerja yang mereka lakukan.

Situasi pengangguran di kalangan graduan kini berada di dalam keadaan kritikal. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia, lebih separuh daripada jumlah pengangguran di Malaysia terdiri di kalangan belia walaupun mereka merangkumi hanya 1/3 daripada pasaran buruh negara.

Mungkin masih ramai lagi mahasiwa-mahasiswa dan graduan-graduan di luar sana yang masih belum sedar bahawa dalam kalangan belia yang bekerja, hanya 16 peratus adalah graduan yang berpendidikan tinggi. Ini bermakna 84 peratus belia yang mempunyai pekerjaan kini mempunyai pencapaian pendidikan paling tinggi hanya di peringkat menengah. Kajian yang sama juga menunjukkan lebih separuh daripada jumlah graduan mendapat gaji kurang daripada RM2,000 selepas tamat pengajian.

Mahasiswa Pakatan Harapan menggesa Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh untuk menimbang semula strategi kementerian beliau yang kini lebih mementingkan ranking antarabangsa daripada kebajikan mahasiswa-mahasiswa dan graduan-graduan universiti tempatan.

Mahasiswa Pakatan Harapan juga ingin mencadangkan agar Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh untuk mendedahkan dimanakah anak-anak dan keluarga terdekat beliau melanjutkan pelajaran mereka. Tujuan persoalan ini diutarakan adalah untuk memulihkan kepercayaan kepada beliau dan kementeriannya daripada tuduhan-tuduhan yang telah dilemparkan oleh pelbagai pihak sejak kian lama tetapi kekal tidak berjawab sehingga kini.

Sebagai sebuah organisasi mahasiswa di antara yang terbesar di Negara ini, Mahasiswa Pakatan Harapan berharap Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh akan mengambil serius cadangan-cadangan ini dan akan memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang telah diajukan oleh pihak kami.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage
Mahasiswa Keadilan Malaysia

Mohd Khuzairy
Mahasiswa Amanah Nasional

Yu Sheng Leong
DAP Varsity

Leave a Reply