Politik Tanpa Parti!

Pandangan

Oleh: Rien Sd

Adakah partisan itu sifir utama dalam politik? Politik mesti- bahkan terlibat dengan segala mak nenek partisan atau politik kepartian? Mestikah kita menuju ke situ tanpa menoleh kiri dan kanan? Politik kepartiankah pilihan utama (primary choice) bagi seorang yang mahu menggauli masalah sosial dan sepak terajang masyarakatnya?

Persoalan-persoalan ini masih kabur, samar-samar dan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya merasa terganggu dengan terma non-partisan. Terma ini terlalu nakal dan endah tak endah, lebih-lebih lagi apabila terungkap daripada lidah mahasiswa- yang terlibat dengan gerakan mahasiswa dan mass movement di luar kampus. Ini skrip kartun yang paling mahal nilainya. Non-partisan mereka di dalam kampus adalah partisan mereka di luar kampus. Tentang pilihanraya kampus, kampen, saraf dan lain-lain adalah tamrin asas bagi mereka yang sudah bersedia menyarung jersi partisan di luar kampus.

Kritik ini pernah saya tulis dan diterbitkan oleh Nadi Mahasiswa Malaysia tahun 2017- pasca debat anak muda di Universiti Malaya- tentang anak muda partisan atau anak muda partisan. Dua terma ini sudah semacam azimat/tangkal pelindung mereka- dan permit mereka untuk tampil menawarkan diri menjuarai isu lingkungan. Maka saya mengatakan, menolak budaya partisan kena jelas dan terang. Tidak perlu berselindung/playsafe/munafik. Mereka perlu berpendirian dan tidak boleh dijual beli. Tulisan ini tidak akan pergi kepada kritik gerakan mahasiswa, cukup sekadar meletakkan bold pada garis pemisah partisan dan tidak partisan/tidak berparti dan menolak budaya parti dalam dan luar kampus.

Sekiranya kita ditanya; mengapa politik tanpa parti- atau berpolitik tidak berparti- maka bertanyalah semula; adakah berpolitik mesti berparti atau semua masyarakat yang meneruskan kehidupan dengan polisi ekonomi/sosial negara kena menjadi partisan? Nampaknya, menyanggah kem partisan totok ini cukup sekadar dengan persoalan. Mereka menyangka, dengan menjadi partisan sahajalah maka kita akan mula menggundahi harga gula, minyak dan tol? Atau semua gerakan sosial yang indipenden perlu berhenti, menanggalkan jersi mereka, menghapuskan segala macam perkumpulan dan alternatif yang dibangun, kemudian bergabung dengan parti politik? Malangnya, tiada satupun pakatan parti politik yang sifar korup. Ya, kita perlu sentiasa ideal terhadap pergerakan politik parti yang tidak pernah jujur dengan agenda mereka ini. Jika benar mereka melempar pelampung untuk menyelematkan rakyat, ketahuilah, pelampung itu bocor dan sudah rosak.

Budaya ofensif dan defensif politik parti inilah yang paling busuk dan kotornya sudah tidak mampu ditutup lagi. Dari ahli ilmu, orang tua sehingga orang muda yang belum mumayyiz dalam pergerakan politik parti ini mahir memaki- atau meludah semula lawannya. Budaya ofensif inilah sekiranya dibalut dengan kain putih yang berjenama Matang & Sejahtera sekalipun, tidak mampu menutupi bonggol najis di bawahnya. Terlalu busuk. Form ini sudah diterima tanpa pertikai. Inilah rukun iman mereka. Tiada parti yang diserang oleh lawannya kemudian dia berdiam, mencapai tasbih meratib 99 asma’ tuhan. Melainkan mereka akan mempersiap butri peluru- menyerang balas- membunuh lawannya. Inilah pertandingan yang paling agung mereka!

Maka kerana itu, saya percaya, bahawa hanya gerakan kebudayaanlah yang paling menfasi masalah rakyat/masyarakatnya. Manusia budaya tidak korup dengan penanya- melainkan mereka menerima penyusupan masuk budaya politik parti dalam membangun wacana kebudayaan kalangan masyarakat. Manusia politik adalah eksperimen yang gagal dalam evolusi manusia, mereka terlalu membuat kecoh/onar dan tidak tentu hala.

Parti Politik = Alternatif?

Jika ada cendekiawan di Malaysia yang mengatakan bahawa undi rosak- yang ketika ini trending dan mendapat respon daripada  segala kaum kerabat parti politik termasuk kumpulan sosial yang politikal pro-pembangkang- tidak sesuai dilancarkan di Malaysia kerana demokrasi di sini berada dalam keadaan teruk, maka kita perlu bertanya kepadanya; adakah dengan mengundi Pakatan Harapan, maka demokrasi akan pulih, kembali sihat dan menjadi agung semula?

Tidak nampaknya. Naib Presiden, Parti AMANAH sendiri tidak mampu berselindung lagi. Lidahnya terlalu berbisa sebelum memerintah lagi. Seruannya agar PDRM menangkap tukang kempen undi rosak dalam sebuah postingnya di laman facebook peribadinya adalah ungkapan yang berbahaya. Jahat dan angkuh. Demokrasi akan berkubur seluruh badan sekiranya mamat ini diangkat menjadi pemimpin. Begitu juga anggota pakatannya yang lain.

Parti politik bukan alternatif. Jauh sekali berharap kepadanya untuk perubahan sosial dalam masyarakat. Kita sedang berhadapan dengan masalah yang rumit- lebih rumit daripada parti-parti politik ini- iaitu political system (sistem politik) kita yang memang sudah seperti kumbah. Empangannya sudah bocor. Tukang paip sudah tidak mampu menampalnya lagi.

Bagaimana pula dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM)- yang terkenal progresif dalam berturun menyelesaikan penghisapan majikan despotik kepada pekerja, melawan penggusuran tanah dan konsisten bercakap tentang alternatif kepada rakyat? PSM tidak berada pada jalan politik arus perdana. Mereka melakukan kerja akar umbi bahkan untuk pilihanraya akan datang nanti mereka memberi laluan luas kepada Pakatan Harapan untuk bertanding- 97% out of 100%. Parti yang tidak tamak kerusi dan tidak mahu menang seperti ini kita tidak tidak akan menemui sisi gelapnya. Mereka tidak berselera untuk korup, kerana mereka memang parti miskin/ala kadar namun menjunjung politik kelas dan ideologi- walaupun mereka berkhilaf dengan Sosialis Alternatif dalam ijtihad politik samaada menyertai pilihanraya atau tidak.

Politik arus perdana- tidak kiralah kalangan UMNO/BN atau Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera- mereka terlalu kecoh dan feudal. Termasuklah parti sosial demokrat ala DAP yang merekrut ramai lagi cukong. Kekalutan politik arus perdana hari ini bertambah kacau apabila mereka menghamparkan karpet merah kepada mantan mahafiraun yang cuci tangan menjadi mahamusa; Tun Mahathir. Menjadi calon perdana menteri. Anak muda idealis yang berteduh bawah ketiak Mahathir ibarat menyapu lumpur ke muka sendiri.

Mereka telah dihadas besar oleh Tun Mahathir. Menurut mereka, kita perlu memberi peluang kepada Pakatan Harapan- sekaligus Mahathir menyelamatkan Malaysia daripada Najib sambil ke hulu ke hilir dengan baju “Kita Semua Penghasut’ bersama muka Najib dibadutkan. Percayakah kalian, bahawa sekiranya satu hari nanti Najib berpakat bersama mereka (anak muda PH), mereka terpaksa menyembunyikan baju badut atau membuangnya ke laut kerana, buang yang keruh ambil yang jernih. Prinsip mereka terlalu murah.

Perubahan Oleh Masyarakat

Adakah perubahan masyarakat bergantung kepada perubahan atau peralihan kuasa parti politik di Malaysia? Adakah selepas UMNO/BN berkubur maka PH akan memerintah sebiji dengan kerajaan langit tuhan yang sempurna belaka? Adakah mudarat UMNO/BN lebih besar daripada PH? Jika benar, apakah measuring scale kita dalam mengukur jahat tak jahat dua kabilah politik ini?

Nampaknya, tidaklah perubahan itu tercapai semata-mata dengan jalan politik parti. Kita tengah berhadapan dengan pemikiran korup yang banyak berbanding menteri korup. Perubahan yang sebenar adalah ketika masyarakat kita sudah berani menyanggul rambutnya, membentuk kesatuan dan- yang maha penting- menyedari bahawa pembodohan itu sebuah peperangan yang senyap.

Berpolitik tidak perlu berparti. Kita adalah menteri bagi kumpulan sosial kita sendiri. Kuasa rakyat (people power) adalah kesan demokrasi yang sempurna. Autonomi rakyat yang dirampas, hanya mampu direbut oleh rakyat. Dengan tangan kotor mereka yang bekerja setiap hari, menyusun batu bata membina bangunan tempat wakil rakyat mereka bersidang. Maka, politik tanpa parti, segera!

 

 

 

Leave a Reply