Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) yang mempunyai lebih kurang 2000 pelajar telah menjadi mangsa kepada birokrasi pentadbiran pendidikan. Setelah 2 minggu pelajar belajar dalam keadaan panas, pensyarah mengajar dalam keadaan gelap dan komputer yang tidak dapat dibuka kerana tiada eletrik di bilik pensyarah, barangkali KMKt harus diberikan perhatian oleh pihak atasan dengan lebih serius.

Kolej ini boleh dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian A adalah dewan besar/surau, bilik pentadbiran, bilik pensyarah, dewan kuliah, dan dewan makan pensyarah. Bahagian B adalah bilik tutorial dan lab. Manakala bahagian C pula adalah kolej kediaman para pelajar. Setiap pelajar yang diletakkan di dalam kumpulan kelas masing-masing akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu dewan kuliah untuk pengajaran beramai- ramai, kedua, bilik tutorial dan ketiga adalah lab bagi subjek yang mempunyai eksperimen.

Dua minggu lepas pada 18 disember, terjadi satu masalah transformer yang menyebabkan kebanyakan tempat di bahagian A kehilangan punca kuasa eletrik. Bahagian A adalah bahagian terpenting dalam kawasan matrik ini. Di sinilah semua pensyarah-pensyarah mengulang kaji silibus, mengemaskini data-data pelajar dan mencetak barang-barang penyediaan untuk mengajar. Tetapi apa yang paling penting sudah tentunya para pelajar yang menuntut ilmu di kolej ini.

Namun sehingga hari ini, walaupun bermacam aduan dan tindakan telah diambil dewan kuliah, sehingga hari ini masih dalam keadaan panas dan tidak selesa. Bayangkan sahaja dewan besar yang mampu menempatkan sehingga 250 pelajar dan dewan kecil sehingga 150 pelajar hanya berkongsi empat kipas kecil. Walaupun pihak matrikulasi tidak mewajibkan para pelajar memakai pakaian kemeja dan baju kurung bagi perempuan, situasi ketidakselesaan para pelajar dan pensyarah yang mengajar tetap dalam keadaan teruk.

Sistem matrikulasi yang dari awal terkenal dengan sistem “fast track” mempunyai silibus banyak yang dipadatkan dalam masa setahun. Berbanding dengan STPM dua tahun dan diploma tiga tahun. Dikatakan masalah ini akan berlanjutan sehingga dua bulan, dan dijangka pulih sepenuhnya pada bulan Februari tahun hadapan. Jadi sepanjang tempoh ini, pelajar harus bersabar belajar di dalam kondisi panas dan berpeluh. Malah, waktu konsultasi bersama pensyarah, pelajar terpaksa menggunakan lampu suluh untuk melihat dan menulis.

Jadi persoalannya, sejauh mana pentadbiran mengambil berat tentang isu ini? Betulkah Malaysia yang kini bakal mengalami revolusi industri keempat ini masih memerlukan sehingga dua bulan untuk membaiki perkara ini? Jika ya, tidakkah pentadbiran mempunyai langkah yang lebih baik untuk menangani masalah ini? Jika tidak, adakah ini sebenarnya masalah birokrasi? Siapa yang seharusnya bertanggungjawab dalam isu ini?

Diharapkan pihak atasan mengambil tindakan secepat yang mungkin. Hentikan birokrasi, selesaikannya segera!

 

Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian NadiSiswa.

Leave a Reply