Oleh; Maisarah Mohd Pauzi

Tahun 2017 telah menutup tirai dan kita sudah pun berada dalam satu tahun yang baru dan lebih mencabar. Sudah tentu, kita juga perlu mengimbas semula pencapaian kita dan meneruskan azam yang baru. Menjadi mahasiswa dan menjadi orang muda, kitalah yang akan mewarisi masa hadapan negara ini.

Kalau kita lihat keadaan politik negara kita hari ini, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila penglibatan orang muda seakan-akan halimunan atau orang putih cakap ‘invisible’. Mungkin ya, sosok seperti KJ antara yang paling popular tapi pengaruhnya tidak kuat. Mari kita bandingkan pula di peringkat antarabangsa, orang muda diberi kepercayaan untuk memimpin negara seperti PM Canada, Justin Tredau dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Lebih merepek lagi, barisan pembangkang di Malaysia meletakkan Tun M sebagai calon PM, yang sudah berusia lebih 90 tahun. Wow! Memang paradoks sekali pakatan pembangkang ini. Akhirnya, menjelang PRU ke-14, kita tertanya-tanya juga, di mana orang muda?

Sudah sampai masanya, orang muda perlu diberi peluang. Tapi sebelum itu, orang muda sendiri perlu bersatu dan menjadi satu entiti yang kuat untuk meraih kepercayaan masyarakat. Keluarlah dari tembok universiti, lakukan perubahan dengan kudrat dan ilmu yang terkandung di dada. Perangi kerosakan yang ditinggalkan oleh ‘orang tua’!

Hal ini tidak mustahil kerana memang sudah ada pergerakan orang muda di negara kita yang mengangkat permasalahan dalam masyarakat melalui pelbagai saluran NGO dan kolektif. Di Melaka, sekumpulan anak muda sudah membuktikan mereka mampu membawa perubahan dengan mentransformasikan kawasan bekas kilang dedak yang menjadi sarang penagih dadah kepada kawasan rekreasi dan tarikan pelancong. Sayangnya, orang tua yang berkuasa jugalah yang menghancurkan usaha mereka, lalu dirampas kawasan tersebut untuk dibangunkan projek bernilai RM40 juta!

Tahun 2018 ini, dan tahun-tahun yang mendatang sepatutnya menjadi milik orang muda. Ayuh, orang muda! Mari bangkit dan bawa perubahan!

Leave a Reply