Islam dan Feminisme

Pandangan

Atas nama Yang Kasih, daku menulis. Selawat dan salam, buat kekasih.

Segala puji bagi Allah, yang telah mengurniakan kehidupan kepada manusia, yang dengannya mereka memilih dan memahat di papan-papan takdir ketentuanNya, untuk dibacakan di Hari Sana, Hari Abadi yang tak ada lagi hari sesudahnya. Segala puji bagi Allah, yang mengurniakan akal budi kepada manusia, yang dengannya, mereka menimbang pilihan mereka, memilih untuk menyesal atau berbahagia, selaku ujian dan bukan percuma dipinjamkan. Segala puji bagi Allah, yang menciptakan mereka berpasangan nan saling bergantungan, dan menyedari hakikat berpasangan ialah untuk melengkapkan kekurangan, bahawa mereka tidak boleh hidup sekiranya bersendiri di dunia ini; sunnatullah dan ketetapanNya yang berhikmah tak terperi, bahawa yang berhak tunggal dan ditunggalkan hanyalah Dia, yang Esa, selamanya.

Cinta hati kita pernah bersabda, “Perempuan merupakan saudara bagi lelaki.”  (HR Ahmad, Tirmizi & Abu Daud) Dua perkara yang harus kita tekankan di sini ; bahawa identiti yang dibawa perempuan tidak sama dengan lelaki, kedua, bahawa dua identiti ini dijaga atas nama persaudaraan kemanusiaan, yang menjamin kesaksamaan (bukan kesamarataan) menurut panduan syarak berdasarkan dalil, yang asalnya perempuan itu sama seperti lelaki, melainkan dalam perkara yang dikhaskan oleh syarak; di mana persaudaraan ini dibina dan dijaga atas dasar keadilan, dan keadilan pula secara praduga dan iman diyakini berada di dalam syarak yang hakiki (bukan semata-mata pentafsirannya). Dasar inilah yang membentuk wacana feminisme Islam.

Bermula daripada kefahaman ini, barulah kita dapat memeta rahmat dan keluasan Islam dalam wacana mengangkat perempuan, dan melakukan penilaian semula kepada diktat-diktat agama yang hakikatnya merupakan pentafsiran golongan ulama terhadap wacana perempuan dalam syarak; yakni selama mana ia adil dalam melayani perempuan sebagai saudara bagi lelaki, maka ia adalah tafsiran yang bertepatan dengan syarak.

Demikian. Kita akan melihat patriarki Islam sebagai patriarki yang melindungi dan menjaga hak persaudaraan ini, disebutkan Allah di dalam alQuran sebagai alQawwam/Pengatur, sebagai tanggungjawab dan mandat Ilahi kepada jenis lelaki seluruhnya, berdasarkan kelebihan masing-masing. Isu subordinasi yang seringkali dibangkitkan dalam wacana feminisme abad kini, tidak lain adalah manifestasi daripada subordinasi ‘Other’ kepada ‘Self’, yang akhirnya akan melahirkan keganasan, pelecehan, dan kezaliman kepada Other (isu subordinasi ini turut dikesan dalam wacana poskolonial, wacana perseteruan kelas borjuis-proletariat, dan seumpamanya dikotomi).

Dr. Mansour Fakih dalam bab-bab awal bukunya berjudul ‘Analisis Gender & Transformasi Sosial’ mengajak kita membezakan antara jantina dan gender, bahawa jantina merupakan aspek biologis yang membezakan antara lelaki dan wanita, sementara gender merupakan tanggapan dan konstruksi budaya terhadap jantina tadi. Beliau menegaskan bahawa tiada kesalahan mengiktiraf perbezaan gender, tetapi yang menjadi masalahnya apabila berlakunya ketidaksetaraan gender. Lalu kita bertanya, ketidaksetaraan daripada segi apa?

Hal begini turut disedari ramai ulama. Lantaran daripada itu, mereka menggariskan beberapa ciri kesetaraan yang boleh dikecapi lelaki dan perempuan, menurut ijtihad masing-masing. Misalnya menurut Syekh Ali atTantawi, kesetaraan ini dikecapi dalam undang-undang dan hak tuntutan. Tidak pada tugas, kerana menurut beliau, setiap daripada jenis lelaki dan wanita, diciptakan Allah untuk tugas yang sesuai dengannya, misalnya tugas hamil dan menyusukan bagi perempuan, tugas melaksanakan kerja berat sesuai bagi fizikal lelaki.

Ijtihad beliau ini masih boleh diperhalusi, darihal kita telah meletakkan asas bagi hubungan antara lelaki-wanita tadi atas nama persaudaraan kemanusiaan, di mana keadilan menjadi tonggaknya ; maka pengagihan tugas, dan hak, selama mana tidak menzalimi bahkan mengukuhkan peranan lelaki dan wanita dalam beribadat dengan memakmurkan dunia, adalah dibenarkan. Pintu ijtihad pula sentiasa terbuka hingga ke akhir waktu, seabadi firman Allah dalam surah anNahl ayat 43, “Bertanyalah kepada mereka yang berilmu, sekiranya kamu tidak mengetahui.” (Hujahnya : Selagimana adanya orang yang tidak mengetahui urusan agamanya, selagi itulah akan ada mereka yang berilmu, kerana perintah Allah tidak tertakluk kepada perkara yang tiada atau mustahil, maka perhalusilah apa yang kita katakan ini).

Cinta hati kita bersabda, “Belumlah seorang daripada kamu beriman dengan sesungguhnya, melainkan sehingga dia mencintai buat saudaranya, akan apa yang dicintai buat dirinya sendiri.” (HR alBukhari & Muslim) Abu azZinad Abdullah bin Zakwan (w130H), salah seorang ulama tabien, seperti yang dinukilkan Ibn Hajar dalam syarahnya akan Arbaien Nawawiyah, mengatakan, hadis ini meskipun zahirnya merupakan tasawi/penyerataan, tetapi hakikatnya ialah tafdhil/kelebihan. Kerana apabila seseorang itu melebihkan orang lain, bererti dirinya lebih mulia daripada orang yang dilebihkannya itu.

Derrida dalam semangat yang sama, mengatakan bahawa manusia seluruhnya narsis, yakni mencintai dirinya sendiri. Namun narsis pula terbahagi kepada dua ; narsis yang baik yang boleh menerima orang lain, dan narsis yang jahat yang tidak boleh menerima orang lain. Hadis tersebut tadi mencakupi seluruh bentuk persaudaraan, sehinggalah persaudaraan kemanusiaan antara lelaki-wanita. Yakni, Islam mengajarkan manusia untuk menjadi narsis yang baik, narsis yang boleh menerima Other sebagai Other tanpa ada asimilasi, tanpa ada subordanisasi, hatta dalam melayani lawan jenisnya, hatta dalam hubungan lelaki-wanita, menurut undang-undang keadilan yang dijaga syarak. Justeru kita menegaskan, wacana feminisme Islam tidak wajar disamakan atau dibandingkan dengan wacana feminisme Moden. Sekiranya mereka mengkritik agama yang patriarki kerana kesalahan pentafsiran agama, ataupun teks agama yang bermasalah, kita tidak dapati ia dalam budaya Islam, selama mana kita tahu nilai apa yang menjadi tonggak di balik persaudaraan kemanusiaan dalam Islam, iaitulah keadilan.

Sebarang bentuk pelecehan kepada wanita, makanya, kezaliman kepada kemanusiaan. Pelecehan tersebut pula intersubjektif dengan ketetapan teks syarak (yakni jenis kezaliman apa yang hakiki bagi kemanusiaan diketahui melalui teks syarak), darihal kembali kepada kondisi manusia yang tidak tetap dan tidak tahu akan maslahatnya yang hakiki, lalu memerlukan nilai standard dan undang-undang yang tetap untuk membelanya, apatah lagi undang-undang abadi nan diimani muslimin sebagai undang-undang absolut, dan siapa yang tidak berhukum atau tidak redha dengan hukumnya bererti ingkar dan derhaka kepada Allah, kerana menzalimi kemanusiaan.

Menyoroti wacana feminisme dalam karangan ahli falsafah Islam, Dr. Mulyadhi Kartanegara dalam artikelnya berjudul ‘Perempuan dalam karya filsafat’ tidak menemukan dasar teoritis yang konkrit seperti yang kita anjurkan di atas, namun menemui wacana gender yang bias dalam kebanyakan karya kebanyakan mereka, misalnya dalam kisah Salaman & Abshal karangan Ibn Sina, isteri Salaman seorang wanita digunakan sebagai lambang bagi syahwat dunia yang jahat yang menggoda Abshal yang merupakan personifikasi bagi akal. Sementara dalam ringkasan Ibn Rusyd akan buku Republik karya Plato, beliau menegaskan bahawa perempuan adalah saudara semanusia bagi lelaki, meskipun memiliki beberapa perbezaan dengan lelaki.

Beliau mempertanyakan kepada masyarakat Andalus dan muslimin umumnya, “Sesungguhnya kemampuan para wanita telah terhapus di bandar-bandar ini, kerana mereka hanya dijadikan sebagai penyambung zuriat, pengurus para suami, melahirkan anak, menyusukan dan mengasuh, tanpa lainnya. Demikian itu menghalang pekerjaan-pekerjaan yang lain buat mereka.

”Hal begini, mungkin disebabkan oleh keprihatinan lebih Ibn Rusyd terhadap teks wahyu berbanding Ibn Sina dan pemikir lainnya, kerana seperti yang dimaklumi, Ibn Rusyd pengkaji Fiqh terkemuka dan telah mengarang magnum opus Bidayatul Mujtahid dalam Fiqh Perbandingan Mazhab, sementara kajian Ibn Sina, bersandarkan kepada teori-teori Falsafah Klasik Yunani yang sememangnya melihat wanita sebagai golongan yang tidak terlibat aktif secara politik, dianggap sebagai zoey yang tak memiliki signifikasi politik dan bukan bios yang memiliki kuasa berpolitik dan menentukan keputusan dalam demokrasi, justeru merendahkan nilai wanita dalam strata masyarakat dan tidak memiliki sandaran teoritis yang kuat dalam memperkasakan wanita dalam kegiatan falsafah mereka.

Wacana gender moden, yang dikatakan bebas memilih dan membentuk gender dan jantina, memiliki backlash/tamparsemula yang terlalu kuat, misalnya seperti yang dikarang Sheila Jeffreys dalam artikelnya berjudul, “Transgender Activism : A Lesbian Feminist Perspective”, mempersoalkan sekiranya kebebasan yang dibawa dalam wacana transgenderisme, dan transeksualisme, sebenarnya kerana untuk memuaskan masyarakat yang masih didominasi lelaki dan melemahkan wanita, dengan menjadikan manusia moden selesa untuk berubah jantina sesukanya (yang hakikatnya, menuruti nalar kehendak masyarakat) dan melakukan pembedahan jantina, yang merupakan tindakan negatif terhadap jantina biologis, dan pencabulan hak asasi manusia terancang, melalui aktivisme transgender ini.

Manusia, seperti yang ditegaskan Sayyid Hossein Nasr, tidak akan selama-lamanya mampu menjadi sumber perundangan yang tetap, kerana keadaan semulajadinya yang fana dan sentiasa berubah dari saat demi saat, lantas berhajat kepada aturan yang kekal dan transenden, yang hakiki dan menjamin keadilan buat semua.

 

-Syafiq atTauhidi-

22 Disember 2017

Kota Kinabalu, Sabah

Leave a Reply