Berita

33 IPTS Ditutup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara ditutup tahun ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata ini disebabkan oleh beberapa sebab seperti tidak mematuhi piawaian ditetapkan serta pengurusan dan kualiti yang lemah akibat masalah kewangan.

Sebagai contoh, Idris menarik perhatian kepada kolej yang tidak mempunyai pelajar mencukupi atau pensyarah berkelayakan dan sesetengah kolej pula meminta untuk menghentikan operasi secara sukarela.

“Apabila kita mendapati mereka beroperasi tanpa mematuhi keperluan, mereka perlu menutup operasi… kita tidak boleh menjejaskan kualiti pendidikan,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penarafan kepada IPTS yang layak pada majlis penarafan Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) 2016/2017 hari ini.

Idris berkata kualiti kolej swasta di negara ini tidak akan dikompromi dan ini terbukti melalui pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) yang berkuatkuasa pada 28 November untuk mengawal selia IPTS.

Idris berkata bagi 2016/2017, sejumlah 336 kolej menyertai MyQUEST dengan memasukkan data dan respon ke dalam sistem berasaskan web dan hanya 276 kolej memenuhi kriteria kelayakan dan layak untuk diaudit.

Menurut beliau, daripada 276 kolej, hanya 206 diberi penarafan dengan 15 kolej mencapai 6 bintang (penarafan tertinggi) berbanding 9 pada 2014/2015, 63 mencapai 5 bintang (sebelumnya 52), 61 mendapat 4 bintang (sebelumnya 46) dan 67 mendapat 3 bintang (sebelumnya 92).

MyQUEST merupakan sistem dibangunkan oleh kementerian untuk menilai prestasi kolej swasta di Malaysia, dan menambahbaik kualiti pendidikan yang disediakan.

SUMBER

Leave a Reply