Seperti yang masyarakat dan mahasiswa umumnya ketahui bahawa universiti adalah merupakan pusat intelektual yang tertinggi dalam sesebuah negara. Namun, jika kita melihat pada hari ini universiti itu tidak kurang lebih sebagai sebuah penjara dan kilang akibat daripada sebuah sistem ataupun dokma lama yang telah ditanam ke sederap minda-minda mahasiswa agar mereka terus saja tunduk dan patuh tanpa ada yang mahu berlaga idea secara matang dan intelektual.

Secara asasnya jika kita melihat pada hari ini perkataan Universiti di negara kita ini kelihatannya gagal berfungsi dan mengangkat dengan tinggi martabat nilai perkataan itu sendiri. Asal perkataan universiti itu sendiri adalah membawa satu definisi kepada kelompok guru ataupun cendekiawan dan bukanlah bangunan canggih yang megah yang bernilai jutaan ringgit. Seperti yang kita ketahui sistem yang bobrok yang telah di tanam di dalam Universiti adalah sebuah sistem dan persekitaran yang telah dipromosi melalui tiket AUKU dan tidak mungkin mampu melahirkan golongan cendekiawan ataupun seorang “pendeta” dalam mana-mana disiplin ilmu sekalipun malahan sistem ini hanya akan melahirkan lebih ramai generasi yang “patuh dan tunduk” kepada keputusan-keputusan orang-orang besar di jabatan. Maka tidak hairanlah jika pada hari ini fungsi Universiti itu tidak selari seperti yang sering digembar-gemburkan kepada masyarakat.

Mahasiswa pada hari ini harus sedar bahawa bangunan konkrit yang bernilai jutaan ringgit itu adalah hasil daripada titik peluh rakyat maka kontrak mahasiswa adalah dengan rakyat dan mahasiswa seharusnya menjadi jurucakap rakyat, bukan menjadi macai yang goblok kepada orang yang membentuk sistem yang bobrok itu. Mahasiswa adalah golongan majoriti di dalam universiti dan ini adalah fakta yang tidak disedari dan tidak boleh dinafikan. Secara ironinya, sebagai golongan majoriti mahasiswa sebaliknya menjadi golongan yang paling tidak ada kuasa dan suara berbanding dengan pihak pentadbiran dan pengurusan yang ada di dalam sesebuah universiti. Sebagai contoh, masih ramai mahasiswa yang digertak-gertak dengan markah dan diperlakukan seperti seorang budak sekolah menengah.

Ini perlu dihentikan!

Jika kita melihat pada hari ini, mahasiswa sering sahaja ditakut-takutkan dengan AUKU dan mahasiswa hanya disuruh menjadi macai yang hanya tahu menurut segala arahan. Kita sering melihat mahasiswa sering ditegah terlibat dengan politik tetapi yang menghairankan pada hari ini kita masih lagi melihat ramai mahasiswa yang menyertai program Perhimpunan Mahasiswa Nasional(PEMANAS) yang sangat jelas adalah anjuran UMNO tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan. Sistem yang bobrok ini jelas menunjukkan bahawa sistem ini diadakan untuk memihak kepada satu pihak sahaja dan ianya sangat tidak adil kepada semua mahasiswa.  Lalu, di mana keadilan sesebuah sistem itu? Di perlembagaannya kah ataupun di atas tangan-tangan hitam yang berkepentingan?

Di bawah AUKU, kesatuan pelajar juga pula telah digantikan dengan perwakilan pelajar yang secara terang-terangan hanya mahu mempromosi “Patronage Politic” mereka sahaja apabila memperkenal sebuah sistem hierarki dalam sebuah sistem universiti. Hal ini akhirnya menjadikan mahasiswa dipupuk menjadi pengikut(macai) berbanding pemimpin. Kegagalan sistem Universiti dibebankan lagi dengan masalah ini.

Pindaan ke atas AUKU tidak mampu memperbaiki lagi masalah kerana akhirnya, ia masih lagi memberi keputusan sama. Mengulangi perbuatan sama(pindaan) dengan harapan melihat hasil yang berbeza adalah satu perbuatan yang sia-sia. Para pemimpin politik seharusnya bersedia untuk menerima kenyataan bahawa membebaskan mahasiswa daripada segala bentuk cengkaman mereka adalah jawapan kepada penyelesaian masalah kemerosotan kualiti pelajar.

Tanpa AUKU, Universiti tidak mungkin akan mati.

AUKU yang goblok ini harus diberhentikan agar mahasiswa tidak lagi disekat dalam menyatakan pendirian dan pandangan mereka. Para menteri harus sedar bahawa mahasiswa adalah golongan yang bakal memacu kepimpinan negara kita ini pada suatu hari nanti dan segala bentuk idea dan pendirian mereka juga harus dihormati. Melalui sistem ini juga kita dapat melihat bahawa semangat demokrasi tidak mampu untuk bernafas di dalam Universiti. Mahasiswa masih lagi dikawal pergerakan pemikirannya melalui agen AUKU seperti Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Kementerian Pelajar Tinggi (KPT).

Kesimpulannya, Universiti tidak dibina oleh batu dan kayu, sebaliknya ilmu dan penghuninya.

 

Leave a Reply