Sudah lama aku tidak menulis sesuatu di NadiSiswa, bahkan secara jujurnya aku mula merindui papan kekunci untuk jari menari-menari. Tidak silap aku, ketika Mukmin “mampir” di ibu kota untuk menyertai satu perhimpunan aktivis anak muda, entah bagaimana kami boleh tersesat sehingga ke Bukit Bintang. Ketika itu kami ketawa melihat satu kedai dengan tulisan “JARI MENARI” dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni. Memandangkan aku tidak diundang dalam acara yang menghimpunkan aktivis muda di ibu kota, pertemuan kami singkat ketika itu.

Aku percaya kedai jari menari itu adalah sebuah SPA, jari menari-menari di atas badan untuk memberikan kelegaan, jika tidak puas mungkin jari itu akan berlari-lari pula; kalau anda sedang ketawa maksudnya anda memahami humor dewasa. Fungsi jari menari milik aktivis mahasiswa pula bukan untuk memberi kelegaan pada badan seseorang, tapi menembak kepala pembacanya. Apabila tembakan itu mengenai sasaran, maka si pembaca tadi sepatutnya mendapat pencerahan tentang apa yang ingin disampaikan penulis. Tugas penulis adalah mencerah bukan memaksa. Akal-akal yang telah cerah pasti akan bertindak, jika belum ada tindakan maknanya akalnya masih kelam. Seseorang boleh membaca 1000 buku; tapi belum tentu ilmu yang dicernakan itu mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Awal Pertemuan

Salah satu punca aku kurang menulis adalah kesibukan menyiapkan Final Year Project (FYP), dan aku juga ingin menghabiskan sisa-sisa hidupku di kampus bersama teman-teman yang bakal aku rindui. Kemudian, aku melihat Mukmin mengucapkan selamat tinggal kepada UMS kerana dia bakal menamatkan pengajiannya di sana. Atas sebab itu aku terpanggil untuk menghadiahkan sebuah tulisan yang tidak seberapa. Aku tidak dapat hadir dalam majlis “cop halalnya” kelak, tapi hatiku ada bersamanya. Tiada pula bunga semerbak dapat aku kirimkan, melainkan ucapan selamat berjaya dan terima kasih atas memori yang kita kongsikan bersama.

Mengenang sejarah pertemuan kami, ternyata ia lebih romantis daripada pertentangan mata Zainuddin dan Hayati. Kali pertama Zainuddin bertentangan mata dengan Hayati adalah  ketika Hayati berada di atas kereta lembu, kali pertama aku bertentang mata dengan saudara Mukmin, ia dihadapan papan catur. Bunyi tulisan ini sudah semakin “berkunyit”, aku harus kembalikan semula larasnya ke arah ucapan selamat tinggal.

Dipendekkan cerita, kami bersahabat biasa ketika menghadapi STPM. Namun pada ketika itu kami saling meneka karakter antara satu sama lain, tidak ada pergerakan yang terhasil daripada persahabatan itu. Sekali-sekala kami adalah bermain futsal, minum kopi sekali, tapi tidak ada yang boleh dijadikan memori manis.

Program Pertama Bersama

Aku pasti ramai yang ketawa jika aku menceritakan aku dahulu adalah seorang islamis, bahkan aku menubuhkan satu gerakan dakwah yang dinamakan Geng Street Dakwah (GSD), sehingga kini gerakan itu masih bernyawa walaupun kurang aktif berprogram. Memandangkan aku dilantik menjadi ketua fasilitator dalam sebuah program kepemimpinan Islam, aku menjemput Mukmin sebagai fasilitator kerana aku tahu dia aktif mengendalikan program (selalunya berteraskan sukan). Melalui program ini jugalah aku menjemput sahabat lama aku; Saiful Bahri Tolla yang akhirnya menjadi Setiausaha Ikatan Anak Muda Tawau. Ini kali pertama Saiful dan Mukmin bertemu, akhirnya kini mereka sudah semakin serasi dan semakin menuju kunyit. Sekali lagi, aku bergurau. Mereka berdua sudah punya kekasih abadi.

Rentetan daripada program itu, ikatan kami semakin rapat. Akhirnya kami terus bersama menjalankan program-program memandangkan ketika itu kami sedang bercuti panjang selepas STPM. Secara jujur, aku pun tidak tahu berapa banyak program yang kami anjurkan, dan betapa banyaknya variasi program yang ada. Pernah sekali kami menetap seminggu di rumah Ustaz Alias Hj Idris yang kami anggap sebagai bapa kerana menguruskan program. Berbekalkan sepasang baju dan seluar, disulami tawakkal kami menetap di rumah Ustaz. Memori ini sering kami ceritakan kepada pelapis; pentingnya pengorbanan dalam apa jua yang kita perjuangkan. Kalau baru dijentik hujan sudah melatah, tidak malukah kita menggunakan jenama aktivis anak muda?

Kejayaan Suara Mahasiswa UMS

Salah satu faktor kejayaan Suara Mahasiswa adalah faktor lokaliti dan pertemuan sebelum masuk ke kampus. Kemudian ia dibantu dengan pertemuan ketika bercuti, di samping kita tidak boleh menafikan Suara Mahasiswa disertai oleh golongan yang cekal dan berani.

Jika aku ditanya tentang kejayaan utama Suara Mahasiswa UMS; aku akan mengklasifikasikan kejayaan mereka kepada dua bahagian. Pertama kejayaan mereka di UMS dan kedua kejayaan mereka pada peringkat nasional. Kewujudan Suara Mahasiswa, atau sebelum ini Barisan Siswa Cemerlang (BSC) memberikan impak yang besar pada politik kampus UMS. Golongan ini telah menggantikan Pro Mahasiswa (walaupun aku percaya ia masih wujud dengan jenama yang baharu) yang kebetulan pada tiga tahun kebelakangan ini mengalami kematian secara perlahan-lahan.

Suara Mahasiswa menjadi “watch-dog” kepada calon-calon MPP yang bakal bertanding, lebih-lebih lagi kepada MPP yang telah dilantik. Bagi mereka yang sering mengikuti Suara Mahasiswa dan saudara Mukmin, sudah pasti kita dapat melihat bagaimana mereka memeriksa setiap janji-janji yang pernah ditaburkan oleh calon yang bertanding. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana kolektif mahasiswa kecuali ketika didatangi PRK.

Seterusnya, Suara Mahasiswa juga “memberitahu” kolektif mahasiswa bahawa mereka harus bekerja sepanjang tahun, bukan semata-mata menunggu PRK. Kalimah kolektif mahasiswa bukan parti politik sering meniti di bibir saudara Mukmin, dan dalam hal ini aku bersetuju. Matlamat parti politik adalah mendapatkan kuasa, tapi tidak untuk kolektif mahasiswa, matlamat kolektif mahasiswa adalah untuk memberi pencerahan dan berkhidmat.

Pihak Pentadbiran UMS mungkin akan gembira dengan kehilangan Mukmin, tapi aku fikir mereka tidak boleh menafikan keberadaan Mukmin di UMS memberi banyak pelajaran kepada mereka. Melalui provokasi dan persoalan-persoalan yang dilemparkan Suara Mahasiswa, mereka perlu belajar untuk memberi jawapan dan bertindak. Walaupun hampir semua tindakan yang dilakukan oleh pihak pengurusan (seperti mengenakan AUKU) aku tidak bersetuju, tapi aku percaya mereka banyak belajar “skill” baharu akibat gelombang kemaraan mahasiswa.

Pada peringkat nasional pula, aku boleh menyatakan satu sahaja. Harga solidariti. Kolektif mahaiswa harus menyedari mereka tidak punya apa-apa. Wang, kuasa, dan aset? Setakat pengetahuan aku, tidak ada akaun persatuan kolektif mahasiswa bebas yang melebih RM 5000. Akibat kekurangan inilah kita sering diperhambakan pemodal (ahli politik atau hartawan). Suara Mahasiswa UMS mengajar kita untuk bersolidariti diantara satu dengan yang lain kerana pada hakikatnya ini sahaja yang dimiliki oleh mahasiswa. Jika bersolidariti sesama kolektif mahasiswa pun kita sombong, apakah mungkin kita sanggup membantu hal yang lebih berat? Lihatlah bagaimana Suara Mahasiswa UMS yang sentiasa bersolidiriti dalam hal-hal yang melibatkan kebajikan mahasiswa nasional.

Selamat Jalan Mukmin

Selamat menempuh realiti kehidupan Mukmin. Ketika menjadi mahasiswa; apabila kita salah ia tidak salah, kerana kita sedang belajar. Ketika menjadi graduan, aku percaya senario ini akan berbeza. Namun mengenali dirimu dengan rapat, aku percaya ayat yang akan keluar dari mulutmu; aku peduli apa ini semua. Teruskanlah berjuang, kita sekeluarga tetap ada untuk saling membantu antara satu dengan yang lain.

 

Suara-suara itu tak bisa dipenjarakan, di sana bersemayam kemerdekaan. – Wiji Thukul

 

 

Leave a Reply