Posted on

Kita Ingin Ikut “Hak Asasi” Siapa?

Komentar ini merupakan respon kepada artikel Faisal Tehrani, berjudul “Allahu Akbar dan Hak Asasi”.

Slogan ‘Islam adalah kemanusiaan’, memiliki tafsiran yang begitu luas, seluas takrif kemanusiaan, dan segala harapan dan pratanggap yang membayangi sang pentafsir. Ditambah lagi dengan kedudukan Islam sebagai ‘institusi’ yang diwakilkan untuk setiap masa mentafsirkan makna rahmat dalam hukum-hakam dan tindak-tanduknya, dan tindaknya pula dicerap melalui tindakbalas pengikutnya terhadap diktat-diktatnya. Lalu ia terdedah kepada penggodaman makna tiap daripada ‘Islam’ dan ‘kemanusiaan’ (samada melalui instrumen sepintar maqasid syariah atau lainnya).

Kenapa kita bertanya begini? Kerana tanpa meletakkan takrif, atau mula mempersoalkannya, kita sentiasa akan dikaburi oleh mereka yang mahu mengawal kita, seperti yang pernah diujarkan Ricoeur, ‘signs give raise to meanings’; yakni kita selaku manusia yang tekstual sentiasa terdedah kepada penciptaan konteks daripada kelilingan kita. Apatah lagi slogan seideal ini.

Hak asasi moden membawa maksud hak asasi kemanusiaan, yakni sejauhmana seseorang itu dilindungi haknya sebagai manusia, dan atas dasar apa. Reduksi yang bakal kita pinjam untuk carapandangsarwa yang mendasari idea “Hak Asasi”, bukanlah untuk berhenti di situ, namun gunanya sebagai pelantar empirik mencerap latar belakang kemunculan idea ini. Dr. Hamid Rabi’, pemikir Mesir, berpendapat bahawa setiap daripada aliran politik dan ekonomi moden memperjuangkan tiga nilai ini; kebebasan, keadilan, dan kesamarataan. Yang membezakan antara satu daripada lainnya, ialah bagaimana satu nilai mendominasi dan menjadikan dua nilai selainnya berkhidmat untuk merealisasikan nilai yang dominan.

Dalam politik liberal-kapitalis, idea kebebasan dominan, bererti kesamarataan yang bermakna hanyalah kesamarataan yang mengiktiraf kebebasan individu, dan keadilan yang benar ialah keadilan yang berkhidmat untuk kebebasan. Dalam politik sosialis, idea kesamarataan dominan, bererti kebebasan yang benar ialah kebebasan yang tidak merosakkan kesamarataan, dan keadilan yang menjaga kesamarataan. Dalam politik Islam, menurut beliau, idea Keadilan dominan, bererti kebebasan dan kesamarataan yang betul ialah yang adil dan menimbang seluruh perkara sesuai dengan keadaannya.

Justeru, hak asasi manakah yang kita ingin maksudkan saat kita berbicara tentang hak asasi manusia? Manusia dalam politik Islamkah, atau politik sosialis, atau politik liberal-kapitalis? Hatta yang mendakwa bahawa ia hak asasi manusia yang disepakati, namun atas persepakatan siapa ia termeterai? Kita tidak boleh berhenti membaca undang-undang dan memisahkannya daripada konstruk sosial yang membinanya, dan menjasadkannya. Jelaslah kepada kita, bahawa hak asasi yang dominan kini ialah hak asasi yang diperjuangkan mereka yang mengutamakan kebebasan atas segala sesuatu.

Oleh kerana itu, kita melihat dan merasa sendiri bagaimana tafsiran sosialis & islamis terhadap hak asasi seakan-akan tafsiran kelas kedua, frinjan, yang tidak layak diiktiraf sebagai salah satu tafsiran yang absah dan boleh, bagi melanjutkan pemikiran tentang hak asasi manusia.

Penggunaan instrumen pintar seperti maqasid dan lainnya, menjenamakan semula kebebasan sebagai kebebasan Islami, selalu kita dapati bertentangan dengan keadaan sejadi teks-teks Wahyu, yang menyeru kepada keadilan, dan kebebasan yang adil, seperti yang dianjurkan oleh Dr. Hamid. Puncanya ialah pentafsir tadi, dan pratanggapnya terhadap hak asasi manusia. Andaian seorang penulis, “Dalam hal ini, strategi Gus Dur untuk menggembleng maqasid al-syariah menjadi satu etika sosial atau etika masyarakat, berbanding hukum-hakam semata adalah amat bijaksana. Ia bertentangan dengan kepala otak Islamis di Malaysia yang membolak-balikkan semua perkara.”, kita setujui, pada kadarnya, namun tidak semutlaknya, darihal keadaan sejadi maqasid yang dikilangkan akal, meski bersumberkan wahyu.

Adakah agama begitu tidak mengiktiraf kebebasan, keadilan, dan kesamarataan? Kita setujui perlunya ulangkaji tafsir hak asasi dan agama, dan bukannya berhujah dengan takdir seperti dilakukan oleh seorang penulis, “Ia bagaimanapun terhakis dan dipandang serong ekoran faktor sejarah yang antara lain berlaku kerana perubahan konsep dan pusat politik Islam, iaitu daripada mendokong demokrasi kepada sistem berteras monarki-autoritarian. Inilah satu punca yang banyak melahirkan produk nista yang penuh kekeliruan seperti menukarkan seruan “Allah Akbar” untuk membunuh orang di medan Siffin dan Karbala. Ia bermula dari Muawiyah. Ia diperkasakan oleh Yazid. Ia diwariskan kepada empayar Islam.”

Kita enggan merumuskan apa-apa di sini. Kerana kita semua bebas menyimpulkan, bukankah begitu?

 

Syafiq atTauhidi
Jeddah
14 Safar 1439H bersamaan 3 November 2017M

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *