Laporan; MalaysiaKini

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Universiti Malaya tidak mematuhi prosedur dalam mengenakan denda atau menggantung lima pelajarnya.

Semua mereka didakwa menganjur dan menyertai perhimpunan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah yang mengetuai panel hari ini bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Zabariah Mohd Yusof juga mengarahkan UM membayar kos RM2,000.

Lima bekas pelajar itu adalah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan ahli jawatankuasanya, Safwan Shamsuddin, Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim.

Universiti itu kemudian menggantung Fahmi selama dua semester dan denda RM600, manakala Safwan digantung selama satu semester dan didenda. Sementara pelajar lain hanya dikenakan denda.

Mahkamah Tinggi Shah Alam Hakim Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya tahun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman pelajar berkenaan untuk membatalkan keputusan universiti itu selepas ia memutuskan bahawa prosiding tatatertib tidak dijalankan mengikut peraturan tatatertib UM (Kaedah-Kaedah Universiti Malaya Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997).

Ia juga memutuskan bahawa apabila lembaga disiplin UM bertemu dengan lembaga rayuan, ia dilakukan tanpa kehadiran pelajar berkenaan.

 

Kelima-lima mereka diwakili peguam New Sin Yew.

New ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara.

 

 

Leave a Reply