Oleh: Anonymous Hensem

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai identiti masyarakat majmuk. Ia mengandungi pelbagai kaum dan etnik yang terletak di seluruh negara. Sebagai seorang rakyat Malaysia, seharusnya perlu dihormati setiap daripada etnik dan kaum lain supaya tidak menyinggung perasaan melalui tindakan masing-masing. Malaysia yang kini sudah 60 tahun merdeka sudah lama berusaha untuk menyemai keharmonian di antara kaum-kaum yang berada di Malaysia ini.

Penyatuan antara kaum di bawah Parti Perikatan merupakan titik permulaan bagi memecahkan dasar pemisahan dan perintah yang dibawa oleh British sewaktu zaman kolonial dahulu. Penyatuan dan persefahaman antara kaum juga merupakan satu syarat sekiranya Malaya sudah bersedia untuk berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan. Walaubagaimana pun, isu yang terbaru merupakan cubaan untuk menggoyahkan sedikit perpaduan di antara kaum di negara ini. Antaranya, kedai dobi ‘mesra Muslim’ yang hangat diperkatakan telah menimbulkan kegelisahan dan kerisauan di kalangan penduduk-penduduk di negara ini.

Tambahan pula dalam beberapa tahun ini, isu dan sentimen-sentimen perkauman sering kali bermain dan berlegar-legar di media massa dikhuatiri menimbulkan akibat yang tidak baik seperti pemisahan, sikap prejudis dan diskriminasi. Isu dobi ‘mesra Muslim’ merupakan satu isu di mana seorang pengusaha dobi di Muar, Johor membuka dobi khusus untuk yang beragama Islam sahaja. Tindakan ini telah mengundang prejudis kerana lantaran daripada tindakannya itu menimbulkan pemikiran bahawa orang yang bukan beragama Islam tidak boleh untuk menggunakan dobi yang sama digunakan orang Islam kerana ‘tidak bersih’. Hal ini telah mendapat perhatian Sultan Ibrahim Iskandar yang kemudiannya dilaporkan murka dan menitahkan agar papan tanda ‘mesra Muslim’ tersebut diturunkan.

Insiden tersebut menunjukkan bahawa masih lagi ada kelompongan di dalam pemahaman agama Islam di negara ini. Hukum feqah yang cuba diaplikasikan oleh pengusaha dobi tersebut adalah berdasarkan kemungkinan dan was-was. Berdasarkan sebuah ceramah oleh Dr Syauqi Othman, feqah itu tidak terbina berdasarkan perasaan was-was. Perasaan was-was ini mampu untuk menjurangkan lagi hubungan di antara Muslim dan bukan Muslim di negara ini sekiranya ia diterima untuk menjadi sebuah hukum di negara ini. Namun begitu, masih ada juga pihak yang mempertahankan tindakan pengusaha dobi tersebut dengan alasan bahawa itu adalah hak peribadi pengusaha dobi tersebut.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman di dalam kenyataannya di portal ISMA menyatakan bahawa adalah memalukan bagi kabinet untuk membincangkan hal tersebut kerana masih lagi ada isu-isu besar yang perlu dibincangkan selain daripada isu dobi ‘mesra Muslim’ tersebut. Beliau mengulas bahawa bagaimana cara pengusaha dobi tersebut untuk menjalankan perniagaannya adalah hak peribadinya dan tidak perlu dibincangkan di kabinet. Walaupun itu merupakan hak peribadinya, namun bagaimana pula dengan hak peribadi orang lain yang dinafikan untuk membasuh baju di kedai tersebut? Melalui tindakan dan hak peribadi inilah, secara sedar ataupun tidak sedar mampu untuk melebarkan jurang di antara penduduk yang berbilang kaum dan agama di negara ini. Ketaksuban dalam mempertahankan nilai-nilai agama perlulah dibentuk semula supaya tidak menjadi terlalu ekstrem sehingga boleh mencetuskan kegusaran awam.

Dalam memahami insiden yang berlaku ini, sebenarnya ada cubaan bagi menjadikan budaya di Malaysia ini diasimilasikan, iaitu budaya yang paling dominan akan menjadi pegangan budaya mereka. Ini boleh dilihat seperti di Indonesia, di mana istilah yang digambarkan bagi menunjukkan mereka ini bersatu-padu adalah bangsa Indonesia. Walaupun begitu, tindakan afirmatif yang dilakukan telah menyebabkan mereka kehilangan identiti dan hak mereka. Menurut tulisan Ooi Kok Hin iaitu Aku Kafir, Kau Siapa telah menjelaskan perbualannya dengan beberapa orang pelajar Indonesia yang berbangsa Cina. Katanya, sewaktu awal polisi itu dilaksanakan, sebarang perayaan yang melibatkan budaya selain di Indonesia tidak boleh diamalkan. Ini merupakan satu penindasan terhadap bangsa-bangsa lain di Indonesia pada ketika itu.

Pada tahun 1966, Presiden Soeharto melalui Orde Baru menekan etnik Tionghoa untuk menggantikan nama mereka dengan nama yang boleh disebut dalam bahasa Indonesia. Melalui tindakan ini, adalah permintaan untuk membuktikan kesetiaan dan kecintaan terhadap negara Indonesia, justeru dapat mengidentifikasikan diri mereka dengan bangsa Indonesia. Perkara ini juga diakui oleh rakan sekelas yang mana beliau menceritakan penggunaan nama yang ada haruslah homogen (bernama Indonesia) tanpa mengira agama dan kaum. Walaupun begitu, ia tidak sesuai sama sekali untuk diamalkan di Malaysia, kerana kita mempunyai tiga kaum yang dominan dan pelbagai etnik-etnik lain lagi yang terpecah mengikut populasi dan komuniti di serata Malaysia.

Di dalam struktur masyarakat di dalam sesebuah kerajaan dan negara, asimilasi boleh difahamkan seperti begini, iaitu A+B+C= A, di mana A adalah budaya dominan dan menjadi pegangan mereka. Formula ini tidak mampu untuk dipakai kerana kita mempunyai tiga kaum yang dominan dan sentimen kaum itu masih lagi ada dan sentiasa bersaing. Gerakan-gerakan sosial seperti NGO telah menyebabkan setiap orang berpendapat bahawa setiap kaum itu layak untuk didengari suaranya dan tidak boleh adanya penindasan terhadap hak-hak mereka. Berdasarkan tulisan ilmiah Kartini Aboo Talib@ Khalid bertajuk Lanskap Masyarakat Sivil: Evolusi, Politik dan Pendekatan di dalam buku Wacana Baru Politik Malaysia, menjelaskan bahawa pada abad milenial ini, perjuangan gerakan sivil atas tiket kaum masih lagi menebal.

Terdapat banyak NGO yang berasaskan kaum seperti PERKASA, GPMS, Dong Jiao Zong, Dewan Perhimpunan Cina, HINDRAF dan Majlis Belia Hindu. Penubuhan-penubuhan NGO seperti ini menunjukkan bahawa masih ada lagi semangat untuk memperjuangkan kepentingan kaum walaupun kita sudah menganjak kepada era yang lebih progresif dan kemajuan. Ini sedikit sebanyak memperlihatkan kekangan bagi cubaan untuk meletakkan nilai keagamaan Islam sebagai yang paling tinggi di dalam masyarakat majmuk kerana sentimen primordial itu masih lagi berlegar-legar di ruang awam Malaysia melalui institusi formal mahupun tidak formal.

Lazimnya, terdapat keterkaitan di antara budaya dan agama yang menjadi pegangan di antara kaum dan penganut setiap agama di Malaysia. Menurut akhbar Utusan bertarikh 18 Julai 2017, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan “Hakikatnya tuan dan puan adalah Bumiputera”. Kenyataan tersebut merujuk kepada pengkajian semula status masyarakat India Muslim di negara ini untuk diidentifikasikan mereka sebagai bumiputra atau bukan. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam itu diterima sama seperti Melayu yang saling melengkapi. Malah, susur galur perkahwinan campur di antara Islam dan bukan Islam di negara ini akan me’Melayu’kan hasil perkahwinan mereka tersebut juga.

Di dalam pemerhatian empirikal terhadap isu-isu yang berlaku di Malaysia ini, sikap prejudis itu sering kali diamalkan oleh orang Melayu terhadap bukan Melayu. Misalnya, isu pengasingan cawan minuman bagi murid di SK Taman Puteri menunjukkan bahawa bagaimana seringkali tanggapan selain daripada Islam adalah tidak bersih sebagaimana orang Islam. Tindakan sebegini menunjukkan tiada toleransi dan persefahaman mengenai kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini. Hasil daripada tindakan ini menunjukkan bahawa masih lagi ada kefahaman yang salah mengenai hukum agama tanpa bertanya dan kelemahan untuk bertoleransi di antara satu sama lain. Langkah ini dikhuatiri membuatkan berlakunya segregrasi di antara kaum di negara ini berterusan, kerana sejak dari sekolah lagi mereka telah mengamalkan dasar pemisahan di antara murid Melayu/Islam dengan bukan Melayu/bukan Islam.

Kesimpulannya, sentimen primordial dan etnosenrik masih lagi diamalkan walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan yang ke-60 tahun. Setiap kaum itu diakui memang mempunyai perbezaan dan kepercayaan yang tersendiri, namun, adalah tanggungjawab bagi setiap penduduk di Malaysia ini untuk bertoleransi dan mencapai persefahaman yang sama tanpa perlu berlakunya penindasan dan menyinggung perasaan mana-mana kaum di negara ini. Nilai-nilai perbezaan ini seharusnya diakomodasi dan menjadi tunjang untuk kita menerima perbezaan dan menghormati perbezaan tersebut, supaya perpaduan di Malaysia ini dapat diperkukuh dan menjadi masyarakat yang progresif tanpa perlu lagi memainkan isu berkenaan dengan perkauman ini.

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply