Oleh Halmie Azrie Abdul Halim,
Exco Antarabangsa PKPIM Pusat, sesi 2016/2017

 

Beberapa catatan umum (pandangan peribadi) yang ingin dikongsikan buat teman-teman mahasiswa dan mahasiswi.

Pembukaan semester akademik pada sekitar bulan September di kampus-kampus institusi pengajian tinggi awam khususnya sering kali akan menyaksikan beberapa insiden penting berlaku.

Selain dari sambutan pendaftaran pelajar baharu (sesi orientasi, dsb) dan juga proses mengatur jadual kuliah masing-masing, para mahasiswa-mahasiswi di peringkat ijazah sarjana muda secara lazimnya akan menyaksikan persediaan ‘mood’ untuk berlangsungnya pilihanraya kampus yang akan berlanjutan sehingga bulan Oktober.

Bergantung kepada faktor demografi, sikap aktif atau pasif mahasiswa-mahasiswi terhadap politik, bidang pengajian atau jenis fakulti yang ada, tradisi persejarahan, serta isu semasa yang menjadi bualan di kampus masing-masing akan menyumbang langsung kepada suasana pilihanraya kampus yang berbeza-beza.

Di sini kebiasaannya akan digembar-gemburkan oleh segelintir pihak dalam pelbagai bentuk medium dengan motif untuk mencetus minat di kalangan mahasiswa-mahasiswi, bahawa ianya akan menjadi medan terbaik bagi mengemuka atau memperkenal bakat-bakat pelapis tokoh masa hadapan dan seterusnya menjana generasi yang mampu menggorak langkah lebih jauh untuk menerajui tampuk kepimpinan negara pada suatu hari nanti.

Setakat mana kebenaran atau releven kenyataan tersebut masih lagi boleh untuk dibahaskan.

Ia juga akan menjadi salah satu indikator penting bagi menguji daya kekuatan mana-mana organisasi yang bertapak di dalam kampus dan menjadi bahan penilaian nyata buat para penganalisa politik amatur mahupun golongan penggiat aktivis berpengalaman dalam memahami corak ‘trend’ semasa di kalangan anak muda yang terpelajar.

Sudah pasti akan terdapat banyak hujah-hujah yang menghuraikan tentang manfaat dan juga banyak kritikan-kritikan yang disajikan tentang kelompongan yang wujud di dalam penganjuran pilihanraya kampus.

Keghairahan berpolitik itu mana mungkin menjadi segala-galanya.

Tidak wajar pula untuk mana-mana mahasiswa atau mahasiswi membuat tanggapan berpencak untuk kekuasaan itu sakral dan mutlak.

Ianya adalah lumrah untuk melihat wujudnya perbezaan atau penentangan pendapat didalam meraikan sebuah acara yang pada spesifikasi tertentu merupakan suatu peristiwa yang signifikan untuk dibicarakan.

Hal ini kerana pilihanraya kampus itu, mahu atau tidak mahu, menepati ciri-ciri gagasan sebuah universiti yang ideal yakni menggalakkan suasana pertarungan idea-idea bernas yang berkualiti tinggi selain turut menjadi salah satu komponen induk kepada pembudayaan nilai serta prinsip demokrasi yang telahpun disemai sebagai kaedah berpolitik di tanah air ini.

Sekali lagi, sejauh mana kebenaran atau releven kenyataan terbabit pada waktu ketika ini masih boleh dibahaskan bersama.

Pembentukkan watak individu-individu yang terlibat langsung di dalam pilihanraya kampus juga turut terkesan lantaran berhempas pulas menyusun atur strategi, membina jaringan-rangkaian antara komuniti, mengukuhkan kredibiliti di kalangan para pengundi, melatih keupayaan untuk berpidato/pengucapan awam, mendidik kematangan dalam diri dengan pendedahan pengalaman yang unik, memperkemas ketrampilan potensi, mengasah skil pengurusan dan pelbagai lagi.

Namun ia bukan bermakna bahawa setiap orang dikenakan kewajipan untuk terlibat.

Pilihanraya juga tidak pernah menentukan kejayaan seseorang di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hanya yang benar-benar layak dan berkebolehan sahaja perlu menawarkan diri dengan niat ikhlas untuk berkhidmat kepada umat.

Antara perkara yang wajar untuk diambil perhatian secara serius oleh mahasiswa-mahasiswi sekalian adalah tentang aspek menajamkan kefahaman mengenai realiti ‘sepak terajang’ pilihanraya kampus.

Kecelikan dan kecaknaan terhadap perjalanan pilihanraya kampus sejak kebelakangan ini kian merundum akibat kondisi ekonomi yang kurang mantap dan dari iklim semasa politik kepartian di peringkat nasional, juga ketidakstabilan politik di peringkat luar negara yang mendukacitakan.

Kebanyakkan anak muda hari ini kini memilih untuk tidak melibatkan diri atau lebih drastik mengabaikan terus pilihanraya kampus kerana kecewa dan penat dengan situasi yang berlaku di sekeliling mereka yang seolah membatas atau merampas kemampuan mereka untuk melaksana perubahan.

Kemajuan alat telekomunikasi dan media juga memberikan alternatif kepada anak muda untuk menyumbang hanya kepada perkara-perkara yang mereka inginkan sahaja, lalu mengakibatkan pilihanraya kampus menjadi hambar kerana hanya disertai dan didokong oleh segelintir pihak sahaja.

Maka, adalah amat mustahak untuk digiatkan kembali perihal pendidikan demokrasi dan karakter kepemudaan berlandaskan keilmuan yang benar kepada mahasiswa-mahasiswi di Universiti Awam agar berperan serta dengan lebih tuntas dalam menggalas tanggungjawab untuk berbakti selaku insan-insan yang sudah terpilih ke menara gading.

Telah berlaku bermacam perkembangan dalam tempoh terdekat yang jikalau disoroti segenap latarbelakangnya akan mengambil ruang masa yang terlalu banyak, lantas sekadar ringkasan sahaja mampu untuk dicoretkan disini atas dasar keterbatasan diri yang memerlukan kepada penambahbaikkan informasi dan ketepatan konteks.

Pilhanraya kampus kini menyaksikan bagaimana dikotomi blok-blok politik yang dahulunya dikatergorikan sebagai Pro-Aspirasi (berwawasan kerajaan) dengan beberapa variasi tertentu menentang Pro-Mahasiswa (bernadikan opposisi) yang turut punyai jenama tertentu sudah tidak lagi digunapakai secara mutlak.

Contoh yang paling menyerlah adalah di kampus Universiti Malaya (UM) yang harini menyaksikan pelbagai jenis fraksi muncul hasil dari berpecahnya dua blok tradisi sebelum ini dari krisis dalaman gerakan mahasiswa yang terjebak dengan iklim politik nasional.

Penggerak UM (UMNO) terus unggul menyambung legasi Pro-A di UM dan ditentang pecahan dari Pro-M menjadi beberapa entiti iaitu pertama Neo-Siswa (PAS) dan kedua koalisi ‘agenda mahasiswa’ (cenderung DAP, AMANAH, PKR) di antara UMANY, Angkatan Mahasiswa & Demokrat UM berpakat, dengan juga Kampus Harmoni (Belia IKRAM).

Maka berlaku pertandingan rancak tiga penjuru untuk perebutan dan percaturan pelantikan jawatan di peringkat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadikan ia semakin rumit mengikut situasi di UM dan membayangkan kepada kemungkinan sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia yang ke-14.

Antara topik utama yang sering terbit adalah berkenaan faktor kolej kediaman yang rata-rata dikuasai oleh anggota Penggerak UM serta campurtangan halus yang dimainkan oleh pihak pentadbiran terutama Hal Ehwal Pelajar (HEP) memberikan kesan kepada keputusan undian.

Juga tidak dilupakan peranan yang masih dimainkan oleh warga alumni UM yang terdiri dari mantan-mantan calon pilihanraya kampus dan lagenda-lagenda aktivis kampus kini di posisi-posisi penting masyarakat yang punyai pengikut dan aura tersendiri dalam mencipta persepsi di kalangan para pengundi.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula, menyaksikan pertarungan jelas di antara dominasi Aspirasi UKM (UMNO) menentang Inspirasi UKM (PAS), dengan masing-masing melalui proses penyusunan semula tersendiri setelah beberapa kisah krisis dalaman juga sebelum ini, dan kelihatan kelibat beberapa calon bebas mencuba nasib bertanding memandangkan organisasi-organisasi lain seolah tenggelam.

Antara topik utama yang masih timbul adalah perihal urustadbir atau pengelolaan pilihanraya yang dipertikai sebagai kurang telus, perbuatan samseng, gerakkerja kempen yang beremosi hingga hilang rasional dan juga kualiti calon-calon berserta tawaran manifesto yang memalukan.

Berbeza pula di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang mana buat untuk sekian kalinya dikuasai oleh We Unite For Islam (PAS) dan proksi-proksi dibawah seliaannya menjadi kubu kukuh buat pihak oposisi selama ini dan akan berdepan dengan pencabar dari aliran-aliran yang berlainan setiap tahun.

Tetapi didapati kini terdapat perubahan sikap yang ketara oleh pihak WUFI-GAMIS (PAS) dalam memaparkan imej yang lebih lunak dan mesra dengan pihak pentadbiran berbanding dengan kempen terdahulu lantaran cubaan bereksperimentasi pendekatan, mengambil ibrah dari strategi awal PKPIM (ABIM) pada sekitar era penghujung 70an, 80an & awal 90an dan taktik yang pernah digunapakai oleh Belia Harmoni (IKRAM) dan juga PEMBINA (ISMA) dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dijangka akan berlaku beberapa pertukaran mendadak dari segi strategi terutamanya dengan kehadiran Pemuda AMANAH untuk mewarnai pertandingan antara warga pemuda-pemudi jemaah harakiy di kampus yang bernuansakan Islam itu.

Antara topik utama yang terus berlangsung adalah dari segi persiapan propaganda atau mainan perang saraf dan muslihat dari ketua-ketua jentera dalam meraih sokongan dari mahasiswa-mahasiswi termasuklah cubaan memakai gelaran pihak ‘berkecuali’, slogan-slogan berretorika, manifesto ‘kitar semula’, acara-acara muhibah untuk memapar ‘perpaduan’ dan aksi-aksi ‘politik kosmetik’.

Di samping itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula turut mempunyai keistimewaannya dalam pilihanraya kampus dengan nada yang jauh lebih terbuka luas dan kurang konflik-kontroversi berbanding kampus-kampus awam yang lain.

Persaingan di sini lebih tertumpu kepada gaya penampilan setiap individu calon untuk menepati tuntutan piawaian islamik idaman, yang rata-rata lebih cocok dengan pembawakkan para ahli warga usrah seperti GAMIS (PAS), PEMBINA (ISMA) dan Belia Harmoni (IKRAM) yang mempunyai kehadiran di kampus itu dan memberikan penumpuan kepada aspek tarbiah dan akhlak.

Tidak boleh diendahkan juga peranan yang mampu dimainkan oleh golongan seperti SISPRO yang barangkali bukanlah dari arus perdana seperti warga usrah akan tetapi gigih dalam menjalankan aktiviti secara berkala.

Antara topik utama yang kerap berlaku adalah faktor kurangnya pertandingan yang sengit, liputan pilihanraya yang tidak agresif, perbahasan manifesto yang lesu, syarat kriteria yang sukar untuk dipenuhi, dan pengaruh besar dari para MPP semasa dalam membentuk pola fikir penggundi baru.

Beralih pula kepada beberapa kampus cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), dikhabarkan akan berlaku pertembungan di antara kumpulan pemuda Aspirasi-MANTAP (UMNO) dengan kumpulan pemuda ARMADA (PPBM) dalam suatu keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Manakala di Universiti Selangor (UniSel), diramalkan akan terus mengekalkan kepimpinan sedia ada oleh wakil-wakil Harapan Mahasiswa (pro-PH) yang memperoleh sokongan pihak pentadbiran dan tidak punyai saingan yang benar-benar mengancam.

Timbul juga tanda tanya serta beberapa lintasan berkenaan kehilangan aksi dari pihak KESATUAN di pentas pilihanraya kampus kali ini, iaitu entiti suara kolektif beberapa front-front mahasiswa dan kumpulan anak muda yang berkesinambungan dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), kini seolah-olah sudah terkubur kembali.

Turut mencuri perhatian adalah sejauh mana kemampuan kelompok sosialis & kelompok ideologi kiri di kampus-kampus tertentu mula mendapat kepercayaan kembali oleh sebahagian segmen mahasiswa-mahasiswi, dengan mengutarakan isu-isu kebajikan dan kemasyarakatan, melalui beberapa wacana yang radikal dan berinteraksi dengan akar umbi setempat.

Apa pula yang mampu dikemukakan oleh pihak-pihak lain yang berpersatuan formal seperti Sahabat YADIM ataupun inisiatif rasmi seperti Ahli Parlimen Belia Malaysia dalam arena kemahasiswaan masa kini ?

Akhirnya, sejauh mana keberkesanan khidmat yang boleh dijana oleh mahasiswa-mahasiswi untuk benar-benar membawa suatu perubahan yang lebih baik kepada pembangunan dan pengurusan negara ?

Banyak lagi yang perlu diterokai dan dinukilkan oleh anak muda tempatan agar bersama-sama memperbanyakkan lagi narasumber berkaitan dengan gerakan mahasiswa, justeru menimbulkan kesedaran bagi meningkatkan tahap prestasi dan kebolehan untuk daya fikir bersolusi dalam menempuh pelbagai permasalahan dan rintangan yang semakin mencabar.

Ianya hanya boleh berlaku sekiranya dipupuk 5 konsep teras ke dalam jiwa sanubari setiap mahasiswa-mahasiswi melalui pendidikan demokrasi dan karakter kepemudaan yang berlandaskan ilmu benar.

1) Penghayatan terhadap konsep independen dan solidariti.

2) Komitmen jitu kepada misi pencerahan dan hikmah.

3) Memaknai erti pengorbanan dan perjuangan.

4) Berpaksikan pencarian keseimbangan dan keadilan.

5) Melakar impian berteraskan etika dan nilai moral.

“The difference between a politician and a statesman is that a politician often thinks about the next election while the statesman think about the next generation.” – James Freeman Clarke

 

Leave a Reply