Ahmad Farhan Bin Rosli[1]

‘Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.

(Hud:88)

Pra-Wacana

Pilihan Raya Kampus 2017 di universiti seluruh negara hadir dalam kecamuk krisis nasional dan hambatan simpang siur politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Titik ini menjadi gambaran awal dalam menilik prospek perubahan sosio-politik negara sebagai jangkaan natijah awal keputusan PRU ke-14. Mood generasi muda mahasiswa dan keterujaan mereka untuk meraikan hak sebagai pengundi pada PRK kali ini boleh dijadikan indikator awal mencongak keseriusan golongan ini pada saat pengundian PRU 14 kelak.

Dapatan kajian “Survei Malaysia : Mood of The Nation” yang dijalankan Institut Darul Ehsan mendapati 66% pengundi mewakili segmen generasi muda ( 21- 30 tahun) belum membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi pada PRU akan datang. Hal ini menjustifikasikan bahawa sebahagian besar mahasiswa tidak terikat dengan dogma kepartian sebaliknya lebih melihat kepada tawaran dan manifesto yang dikemukan parti politik yang mampu menjadi “concrete solution” untuk dipilih bagi membawa aspirasi golongan mahasiswa dalam  konteks pembangunan negara.

Saya yakin dan percaya medan pilihan raya kampus adalah tapak terbaik bagi memilih calon yang punyai karismatik, dan berketrampilan dalam usaha mereka untuk menyumbang bakti kepada masyarakat kampus. Medan PRK adalah proses terbaik dalam pembinaan watak kepimpinan berwibawa yang bakal mewarnai posisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Politik Baru Taman Ilmu & Budi

Dalam berbicara soal hala tuju politik UIAM, kami merasakan satu anjakan lebih segar digerakkan bagi membendung fenomena aimless, bencana kehilangan arah dalam politik kampus yang terus mengakar dalam warga kampus. Anjakan itu bukan semata sudut suasana dan budaya politik yang bersih namun juga anjakan sudut peruntukan undangundang dan prosedur berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.

“Lain Lubuk Lain Ikannya, lain padang lain belalangnya, lain gelanggang lain cabarannya” Suasana politik UIAM punyai keunikannya tersendiri dengan integrasi dan simbiosis mahasiswa tempatan dan antarabangsa. Kekurangan wajah politik kemalaysiaan di kampus ini ditampung dengan pola keumatan dengan kehadiran begitu ramai mahasiswa antarabangsa dari segenap pelusuk dunia. Namun begtu, beberapa anjakan perlu dilakukan bagi memastikan pendekatan politiknya berasaskan pemahaman politik dan demokrasi bersifat kemalaysiaan.

Perkembangan kemunculan pelbagai blok parti mahasiswa seperti Penggerak Mahasiswa, Angkatan Mahasiswa dan Neo-Siswa di Universiti Malaya dan Inspirasi, Aspirasi dan Hijrah di  Universiti Kebangsaan Malaysia harus dilihat sebagai tanda wujudnya kesedaran politik secara sihat di beberapa kampus dalam negara.  Berbeza keadaannya di UIAM, hal ini secara jelas tidak dibenarkan sebagai makna termaktub dalam Seksyen 14 (1), IIUM Election of Students Representative Council  Regulations 2013 yang menyebut :

Any candidate for the SRC election shall stand for election on individual capacity and not representing any organization or a group of people within or outside the campus.

Perkara ini boleh dikatakan selari dengan peruntukan Seksyen 15 (1) (2) & (3) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (pindaan 2012) berkaitan Aktiviti pelajar atau persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar.

Namun begitu, jika disikapi tinta sejarah, walaupun secara dasarnya tidak dibenarkan kewujudan parti politik mahasiswa di UIAM, dapat dibuktikan melalui beberapa catatan kewujudan beberapa kumpulan politik mahasiswa mewarnai kerencaman politik UIAM. Antaranya, We Unite For Islam (WUFI – pernah dijenamakan sebagai Pro-Mahasiswa WUFI pada 2011 sebelum kembali menggunakan nama WUFI), Rest Of The World (gabungan awal diterajui PKPIM yang memberi saingan kepada WUFI di dalam PRK), REVO (Team Revolusi – kumpulan pro-establishment di UIAM), dan ASPIRASI (kumpulan pro-establishment di UIAM). Tidak dilupakan peranan jamaah Islam kampus seperti KARISMA (Kelab Rakan Islah Malaysia – kini dijenamakan sebagai IkramSiswa kemudiaanya HARMONI ), dan PEMBINA (Persatuan Belia Islam Nasional – sayap mahasiswa ISMA).

Secara idealnya, idea atau langkah menuntut kebenaran menggerakkan parti politik di UIAM dilihat wajar dan signifikan dalam meraikan kematangan politik dalam mahasiswa UIAM. Perkara ini dapat mengelakkan beberapa tindakan tidak demokratik seperti tindak tanduk dakwaan pihak berkepentingan mengisytiharkan kemenangan mereka secara terbuka selepas keputusan PRK diumumkan.

Selain itu, secara demokratiknya kita harus menerima sebuah organisasi mahupun kerajaan harus dibina dengan suara majoriti dan suara terbanyak. Secara praktisnya idea ini seharusnya mampu mengukuhkan kekuatan sebuah pertubuhan di samping menguatkan proses “check and balance” dan akauntabiliti dalam pengurusan organisasi pelajar.

Penelitian bagi hala tuju baru dalam praktis demokrasi UIAM juga harus menimbang pengembalian semula kerusi umum bagi calon tempatan. Kebanyakan Universiti Awam di Malaysia memperuntukkan kuota “general constituency”. Melihat kepada relevansi semasa, sewajarnya perkara ini wajar dipertimbangkan bagi menambahkan efisiensi dan kredibiliti calon yang dipilih. Kerusi Umum secara rasionalnya membuka ruang kepada calon untuk lebih fokus kepada isu bersifat universal meliputi isu universiti dan seterusnya bercambah kepada ruang lingkup yang lebih besar dalam memaknai konsep “Student as the partner in university and nation development”.

Sewajar dua perkara di atas harus diangkat secara bersama sama oleh seluruh persatuan di UIAM bagi merancakkan perkembangan demokrasi kampus. ISLA IIUM boleh digunakan sebagai mekanisma terbaik dalam merealisasikan idea ini untuk dilaksanakan dalam PRK akan datang.

Di balik berbicara soal prosedur dan teknikal, seharusnya agenda politik santun diangkat sebagai antara pendekatan segar dalam demokrasi kampus. Personaliti watak “Intellectual leader with Human Conscious” seharusnya ditanamkan dalam diri para calon. Gejala seperti meminta calon oposisi mengundur diri, usaha menakutkan calon lain dan sikap merendahkan calon lain harus dibuang terus daripada politik kampus universiti Islam.

Pesan Untuk Mahasiswa

Meyemangati semangat demokrasi kampus, seluruh mahasiswa diseru sama-sama berpartisipasi dalam iklim yang sihat dengan memilih calon yang punyai kredibiliti bagi membawa suara mahasiswa dan mengangkat martabat kemahasiswaan sebagai “stakeholder” di universiti. Penilaian berdasarkan rupa paras harus ditukarkan kepada pemilihan berdasarkan idea, etika dan moral seorang calon yang mampu mengangkat suara dan kebajikan mahasiswa meskipun dari kelompok berbeza.

Ini mengingatkan kami kepada peta ketamadunan dalam membentuk masa hadapan yang digariskan oleh Tokoh Sosiologis Ulung Algeria, Malek Ben Nabi. Beliau menggariskan tiga martabat utama yang membentuk pola pemikiran masyarakat dalam membuat pemilihan.

Martabat pertama berasakan martabat kebendaan di mana masyarakat meletakkan aspek material (kebendaan) yang meminggirkan nilai kemanusiaan yang sentiasa mengutamakan golongan berkedudukan dan lebih kaya. Seterusnya, martabat  persona yang didasari aspek kredibiliti, persona dan menghiburkan. Peringkat ini menekan kepada aspek nilai menjangkaui sudut kebendaan mahupun kedudukan namun masih terhad dalam lingkup sentimen peribadi. Berikut adalah martabat idea di mana masyarakat mula menerima demokrasi idea tanpa terikat kepada persona mahupun kebendaan. Masyarakat mula menilai lampu kerana cahayanya bukan dinilai berasaskan bentuknya.

Ketika inilah keterbukaan mulai jelas di mana idea diraikan tanpa disaring berasaskan persona luaran dan kebendaan. Merit mulai dinilai berasaskan kompentensi, kredibiliti dan kemampuan menegakkan idea bukan tertutup dalam ruang lingkup kelompok sendiri semata.

Justeru, mahasiswa harus dididik untuk memartabatkan meritokrasi dan demokrasi idea tanpa sebarang sekatan dan sentimen berasaskan kepuakan dan kebendaan.

Aspresiasi Untuk Calon

Tahniah atas keberanian kalian turut serta dalam meraikan demokrasi di kampus. Manisfesto dan janji anda semua harus dinilai sebagai opsyen kepada pihak pentadbir bagi membantu mahasiswa bukannya retorik mahupun slogan kosong. Janji itu harus dilaksanakan berdasarkan kapasiti kalian sebagai mahasiswa. Benar kita punyai idealisme yang tinggi, namun bagaimana kita ingin menterjemahkan idealisme dalam konteks konkrit dan “action basis” agar tidak menjadi slogan kosong.

Kemenangan adalah manifestasi sebuah tanggungjawab bukannya satu penghormatan semata yang seharusnya diinsafi dengan rasa kerendahan hati dan kelapangan fikiran. Kekalahan pula bukan bermakna pengakhiran namun adalah proses retrospeksi peribadi bagi meningkatkan kompetensi kalian dalam menghadapi hari muka.

Bakal MPP seharusnya mengutamakan engagement, melawan apabila perlu, berdiplomasi secara berprinsip bukan untuk dimainkan dan harus sedia utk membahu walau dengan sesiapa pun termasuk mengenepikan perbezaan blok sebaliknya berpadu bagi mengangkat agenda kebajikan mahasiswa. Pendekatan politik diplomatik berprinsip harus digarap dalam usaha untuk berjasa kepada warga kampus.

Komited Dalam Politik Perubahan

Kita meyakini bahawa perubahan itu pasti. Pembudayaan politik baru dengan membudayakan dialog daripada indoktrinasi perlu disegarkan. Wacana bersifat kenegaraan berkaitan hak warganegara, masyarakat madani (civil society) dan tatacara kelola perlu disegarkan. Kemunculan pelbagai blok parti mahasiswa seperti di UM harus dilihat sebagai tanda wujudnya kesedaran politik sihat di kampus negara.  Para mahasiswa juga harus bijak mengelak daripada terus dikawal oleh anasir luar yang mampu menganggu gugat idelisme perjuangan mahasiswa. Pilihan raya kampus adalah medan latihan memimpin bukan menonjolkan agenda partisan mana-mana parti sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Tegas kata, PRK harus dimaknai sebagai medan terbaik dalam mempersiap generasi masa depan kepimpinan negara demi kemajuan kita bersama.

Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya :

Kita ini dididik untuk memihak yang mana ?

Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini

akan menjadi alat pembebasan,

ataukah alat penindasan ?

(WS Rendra, Pertemuan Mahasiswa)

Ayuh mahasiswa,

Hentikan Diskriminasi,

Bersihkan Demokrasi

Selamatkan Universiti

 

Sabtu | 8 Oktober 2017

Bandar Baru Bangi

[1] Merupakan mahasiswa Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan EXCO Penerangan & Penyelidikan PKPIM dan Ketua Sekretariat Publibsiti & Promosi Persatuan Mahasiswa Undang-undang UIAM.

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply