Oleh; Sukarelawan PRK USM

Musim pilihan raya kampus bagi Universiti Sains Malaysia sudah membuka tirai pada hari ini, Isnin, 2 Oktober 2017 dengan majlis Penamaan Calon Pilihanraya Kampus Sidang 2017/2018. Sekilas pandang, ramai dalam kalangan siswa dan siswi USM sudah menjangka banyak kerusi yang akan menang tanpa bertanding.

Masih terlalu awal untuk sebarang ramalan politik untuk pilihanraya kali ini. Walaubagaimanapun, PRK kali ini kurang meriah dan bahangnya tidak terasa langsung. Sesebuah pilihanraya sepatutnya akan dirasai kehadirannya.Kehangatan PRK akan terbukti apabila golongan yang tidak cakna politik pun akan mengetahui bilakah tarikh penting pilihanraya.

Pro-M bubar, pembangkang baru hanya seorang calon

Setakat maklumat awal yang diterima oleh penulis, hanya seorang calon dari parti pembangkang, Ikatan Mahasiswa yang dihebahkan. PRK tahun lepas, hanya ada dua calon dari parti tersebut. Hal ini tidaklah pelik kerana Ikatan Mahasiswa masih terlalu baru dan kurang popular seperti Pro-Mahasiswa.

Di mana Pro-M? Sebenarnya, Pro-M telah dibubarkan pada 17 Mac 2017. Jadi, satu parti pembangkang yang kuat sudah tidak ada di USM. Situasi ini memberi peluang kepada Aspirasi USM untuk menang tanpa bertanding sekiranya kerusi pusat pengajian tiada calon bebas atau calon dari Ikatan Mahasiswa.

Di samping itu, melalui maklumat yang diterima oleh penulis sehingga pukul 6.00 petang 2 Oktober 2017, calon yang pernah mewakili Pro-M ada yang bertanding, mungkin dengan tiket bebas. Maklumat ini akan dikemaskini kemudian.

Mahasiswa tidak percaya pada politik?

Berbeza dengan Universiti Malaya, siswa dan siswi USM dilihat tidak terlalu ghairah dalam soal politik kampus. Malah, ada yang tidak ambil kisah langsung tentang siapa yang bakal menerajui barisan MPP kali ini.

Sidang yang lepas, 2016/2017 menyaksikan terlalu banyak isu yang timbul. Antaranya:

  1. Semakin ramai mahasiswa yang tidak mendapat kolej kediaman (desasiswa) walaupun mata MyCSD mereka layak untuk mendapat tempat di asrama. Malah, keputusan rayuan asrama juga sangat lewat diumumkan. Tahun ini pula, USM mengambil terlalu ramai pelajar tahun satu yang mengurangkan lagi peluang para senior untuk mendapat tempat di asrama.
  2. Bas komuter digantikan dengan bas biasa yang hanya ada satu pintu. Walaubagaimanapun, isu ini sudah selesai pada semester 1, siding 2017/2018. Isu ini memperlihatkan suara MPP/mahasiswa tidak berkuasa langsung untuk membantah keadaan yang menjejaskan produktiviti mahasiswa.
  3. Isu penapis air di asrama juga tidak ada sebarang perubahan.

Isu-isu cliché ini saja sudah cukup untuk menghilangkan kepercayaan mahasiswa terhadap barisan pimpinan mereka di USM. Ditambah pula dengan pembubaran Pro-M, PRK kali ini dilihat tidak kompetitif dan ramalan jumlah yang keluar mengundi juga akan menurun. Secara logiknya, ‘buat apa kami nak mengundi kalau calonnya seorang saja?’.

Mungkin terlalu awal untuk menyatakan bahawa politik sudah mati di USM. Kita lihat dan tunggu keputusan PRK kali ini. ‘Stay tuned’.

Leave a Reply