Antara Mentaliti dan Suara
Noor Syahdan b. Mahad Hamzah

“Our first class facility are trapped inside the third class mentality”

Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Semenjak kebelakangan ini, suara-suara mahasiswa mula berkumandang untuk memberitahu kepada pemerintah mereka bahawa mahasiswa bukan kanak-kanak. Tekanan demi tekanan diberikan kepada pihak pemerintah supaya mereka mendengar dan meneliti setiap idea, cadangan dan pembaharuan untuk masa hadapan yang lebih bahagia. Bermula pada zaman permulaan perjuangan mahasiswa pada 14 Ogos 1948, dibangkitkan semula pada tahun 1971, dan berterusan sehingga ke tahun 2017. Setiap inci isu pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, dan juga politik dibincang dan didebatkan. Setiap pihak mengeluarkan hujah mereka untuk memastikan suara mereka didengari oleh pihak pemerintah.

Kebebasan suara adalah suatu hak asasi kemanusiaan yang tertakluk bawah Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, di dalam Perkara 19. Oleh itu, bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah suatu perkara yang menjadi hak mutlak bagi setiap insan yang berada di atas muka bumi ini. Perkara ini amat suka penulis kongsikan untuk kita fahami dengan lebih jelas maksud sebenar kebebasan bersuara dan pengiktirafan yang diinginkan.

graduation

Seperti yang kita semua sedia maklum, pada zaman ini mahasiswa universiti merupakan segolongan masyarakat yang diharap oleh negara untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik. Pacuan ini dijana pula dengan pelbagai sumber dan kerjasama supaya taraf kehidupan masyarakat dalam negara ini semakin meningkat dan pada masa yang sama menjadi bermanfaat. Namun tahap pengangguran yang tinggi, lepasan-lepasan universiti yang rosak akhlaknya, dan sikap mementingkan diri sendiri antara mahasiswa ini menjadikan pengharapan masyarakat sekeliling terhadap mahasiswa semakin berkurangan.

Dimanakah silap kita?

Contoh mudah yang kita boleh ambil adalah sampah yang bersepah di dalam kelas dan kedudukan pinggan, cawan selepas makan pada kafeteria universiti sendiri, tidak menepati masa hadir ke kuliah dalam jadual yang ditetapkan, penyebaran isu-isu saling menyalahkan antara satu sama lain sebelum diperiksa, dan seumpamanya. Tidakkah kita malu?

Antara sifat-sifat insan yang punyai mentaliti kelas pertama ada disebut di dalam Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah, maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.”

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

Kebebasan suara itu akan terhasil dengan kukuh dan mudah, seandainya mentaliti kita sebagai mahasiswa juga kukuh. Mentaliti kelas pertama, adalah sebuah mentaliti yang berpaksikan keamanan, kesejahteraan, dan kedamaian sejagat adalah sebuah mentality yang patut ditanam sejak dari kecil lagi.

Kita selama ini bercakap dengan penuh gegak gempita tatkala menginginkan sebuah kerajaan yang demokrasi, mengamalkan kebebasan bersuara dalam menasihati pemimpin-pemimpin yang di atas. Kita selama ini begitu marah dengan tindakan segelintir pemimpin yang mempermainkan ayat-ayat dan perlakuan tidak matang mereka.

Mentaliti kita, merasakan pelajar universiti adalah salah satu pekerjaan yang muliad harus dibendung. Ini kerana, pelajar universiti yang inginkan suaranya tidak disekat harus memulakan keterbukaan melakukan aktiviti yang dilihat jijik dan kotor oleh masyarakan sekeliling. Antara ciri mentaliti kelas pertama adalah memudahkan mereka yang berada di sekeliling dan pada masa yang sama tidak takut dan malu untuk menghargai insan-insan yang bersusah-payah dalam menjadikan keadaan kampus kita bersih, damai, dan harmoni.

Justeru itu, penulis ingin menyeru kepada mereka yang membawa mesej dalam Gagasan Kampus Harmoni. Antara mentaliti dan kebebasan suara, yang patut menjadi fokus utama dalam pembentukan kebebasan bersuara dan pengiktirafan yang diterima adalah pembentukan mentaliti kelas pertama dalam membawa suara-suara yang matang dan tidak beremosi. Kebebasan bersuara itu haruslah dibawa bersama akal yang sihat dan hati yang sejahtera, kerana kita sendiri harus mengenal erti batasan dalam menyampaikan suara-suara kepada pihak yang berwajib. Jadilah penyampai mesej yang matang, kenal erti batasan dan tidak mengikut emosi.

Semoga Allah sentiasa membantu hamba-hambaNya yang berjuang menegakkan kebenaran.

Leave a Reply