Berdasarkan laporan akhbar dan video oleh Astro Awani dan Utusan Online sebelum ini, telah jelas disebut oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam ucapannya dua tahun lalu bahawa kemenangan mahasiswa pro aspirasi kerajaan dalam pilihanraya kampus di tujuh bahawa Universiti Awam merupakan bukti gen-y memahami perjuangan Barisan Nasional (BN).

Malangnya laporan itu juga menyenaraikan beberapa universiti yang terlibat termasuklah Universiti Malaya (UM). Lebih memilukan, universiti utama ini telah menjadi sasaran pihak kerajaan untuk ‘cover up’ kepincangan urustadbir negara dalam beberapa siri program yang lalu. Contoh terbesar ialah penganjuran Townhall Jelajah 1MDB yang disambut baik oleh pentadbiran UM serta Majlis Perwakilan Pelajar UM yang diterajui Penggerak Mahasiswa (Pro Aspirasi) ketika itu.

Soalnya, sejauh manakah hubungan baik dan kerjasama erat antara Penggerak Mahasiswa UM dengan pemimpin kleptokrasi Barisan Nasional telah berlaku? Dalam situasi pilihanraya kampus yang berlangsung tidak jauh dari tempoh pilihanraya umum kali ini, tidak mustahil Dato’ Sri Najib Tun Razak akan tampil menyatakan bahawa majoriti mahasiswa menyokong kepimpinan beliau dan Barisan Nasional sekiranya Penggerak Mahasiswa menang dalam PRK kali ini.

Apakah kita mahasiswa rela untuk terus ditunggang penyangak kleptokrasi dan menyerap satu demi satu tekanan ekonomi akibat pemotongan bajet universiti? Sampai bilakah skrip dan wayang ini akan terus dimainkan, sedang pemerintah terus mengecap nikmat atas kesengsaraan rakyat terbanyak? Satu persoalan yang wajib difikirkan oleh semua terutama yang memegang gelaran mahasiswa.

ANIS SYAFIQAH
Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN)

 


Pautan;

  1. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kemenangan-mahasiswa-prokerajaan-bukti-gen-y-fahami-perjuangan-bn-najib-73979
  2.  http://m.utusan.com.my/berita/politik/kemenangan-mahasiswa-prokerajaan-bukti-gen-y-fahami-bn-najib-1.138256

Leave a Reply