Politik Fasis: Isu- Isu PRK

Berita Pandangan

oleh: Anonymous Hensem

PRK UKM pada tahun ini menyaksikan Aspirasi memenangi 37 kerusi daripada 39 kerusi di peringkat kampus. Suasana politik pada tahun ini agak meriah dengan kehadiran parti Inspirasi yang meningkatkan suhu dan iklim politik kampus pada tahun ini. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kecacatan dan kepincangan demokrasi yang berlaku sekitar PRK pada tahun ini. Isu-isu yang timbul ini menunjukkan bahawa sebilangan mahasiswa masih lagi tidak memahami apakah itu politik, nilai kebebasan, rukun negara, dan juga kematangan.

Politik itu apa?

Pertama sekali perlu dilihat pemaknaan politik itu sendiri. Apa itu politik? Menurut Harold Lasswell dalam P olitic s menyatakan bahawa politik adalah proses menentukan siapa mendapat apa, bila dan bagaimana. Disesuaikan dengan konteks kampus pula, politik adalah aktiviti atau proses bagi menentukan siapa yang harus dijadikan sebagai wakil pelajar di dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Setiap mahasiswa bebas untuk memilih sesiapa yang dirasakan layak bagi mereka untuk diundi.

Kesilapan yang berlaku adalah apabila calon Demokrat tidak dapat bertanding kerana penulisan tarikh yang tertera dalam notis pembelian pendaftaran adalah tidak sama dengan tarikh yang sebenarnya. Hal ini telah menyebabkan berlakunya salah faham daripada calon Demokrat menyebabkan mereka tidak dapat mendaftar untuk bertanding. Cubaan ini sebenarnya adalah dilihat sebagai cubaan untuk mengelirukan pihak lawan Aspirasi untuk meminimumkan tentangan seminimum yang boleh.

Tindakan regresif ini telah menyebabkan makna politik yang sedia ada difahami ini dicabuli. Terdapat juga beberapa persoalan tentang kebebasan yang berlaku di sekitar PRK pada tahun ini. Yang pertama adalah di peringkat kolej. Sekitar peristiwa semasa kempen daripada parti Inspirasi, memperlihatkan bahawa Aspirasi menafikan kebebasan asasi Inspirasi apabila mereka menyediakan penghadang manusia sebagai cubaan untuk menghalang kemasukan jentera Inspirasi dan hanya membenarkan calon sahaja masuk untuk berkempen di kolej. Walhal, di dalam Perkara 10 menyatakan bahawa setiap individu berhak untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Perkara 9 juga menyatakan bahawa setiap individu itu tidak boleh dinafikan hak untuk kebebasan bergerak di dalam Malaysia. Ini menunjukkan bahawa sebilangan mahasiswa itu sendiri tidak mengangkat prinsip rukun negara iaitu Keluhuran Perlembagaan itu sendiri dengan menjadikan politik di kampus ini sebagai satu bentuk penindasan hak asasi terhadap parti lawan. Dalam hal ini, mereka perlu melihat kembali maksud demokrasi itu dan memahami konsep perlembagaan di dalam Malaysia ini.

Yang keduanya adalah daripada pentadbiran kolej itu sendiri apabila mereka didoktrinkan hanya untuk mengundi calon Aspirasi sahaja dengan memberikan kertas kecil yang tertera nombor bagi calon umum Aspirasi sahaja kepada setiap penghuni kolej. Isu ini jelas menunjukkan bahawa mereka takut untuk bertanding secara adil apabila tidak memberi kebebasan berfikir untuk penghuni yang datang daripada kolej itu sendiri. Konsep politik matang juga tidak diamalkan apabila berlakunya tindakan provokatif daripada Aspirasi terhadap Inspirasi semasa hari pengumuman keputusan. Mereka telah memperkecilkan dan menyuruh himpunan Inspirasi untuk pulang kerana sia-sia sahaja Inspirasi datang kerana keputusannya sudah tentu memihak kepada Inspirasi.

Kepartian dan Penindasan

Dalam menginjak ke usia dewasa ini, kematangan merupakan sebuah sikap yang perlu ada pada setiap orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mendapat pendidikan tinggi ini. Perkara ini tidak lebih hanya untuk menunjukkan bahawa mentaliti sebilangan mahasiswa kita yang masih rendah dan tidak memahami apa tujuan sebenar politik kampus ini. Biarlah menyertai politik kampus ini untuk membela kebajikan dan membela nasib mahasiswa yang lain, bukannya dengan menindas dan menyinggung mereka-mereka yang tidak mempunyai fahaman dan ideologi yang serupa. Menyertai politik untuk menjaga survival sesebuah parti itu adalah suatu perkara yang sangat memalukan kerana politik tercipta untuk manusia-manusia yang sanggup kehadapan untuk membela nasib insan-insan di sekelilingnya.

Mengenai manifesto-manifesto yang diperjuangkan pula menunjukkan bahawa kelemahan pemikiran di kalangan calon-calon MPP bagi membela kebajikan pelajar lain. Kebanyakan calon Aspirasi menggunakan infrastruktur sebagai manifesto mereka. Dalam hal ini, bukankah infrastruktur ini sepatutnya menjadi tanggungjawab universiti, bukan tanggungjawab pelajar. Manifesto yang klise seperti dobi dan water-cooler dilihat bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. MPP sepatutnya melihat dengan lebih luas lagi tentang permasalahan mahasiswa yang berlaku di sekitar kampus ini, bukan hanya mahu menjadi populis dan hanya menguar-uarkan modul pentadbiran sahaja.

Sepatutnya MPP perlu lebih progresif dalam mendekati mahasiswa dalam memahami masalah mahasiswa yang dihadapi, bukan hanya bertali leher dan bersalaman seperti elitis berjumpa rakyat bawahan. Pendekatan yang dilakukan tidak menepati maksud politik yang sebenar. MPP seharusnya menggunakan pendekatan tidak formal dan berani untuk melangkah dalam jumlah yang kecil demi mendekati pelajar-pelajar yang lain supaya tidak ada persepsi perbezaan kelas antara MPP dan pelajar-pelajar lain. Politik kampus ini hanya mengajar MPP bagaimana untuk menjadi orang-orang kenamaan sahaja dan menyediakan mereka bagaimana kehidupan seperti elitis. Mendekati mahasiswa yang lain secara tidak formal membolehkan manifesto itu dirangka dalam kadar masa yang diberikan setelah disintesiskan masalah-masalah yang didengari daripada pelajar-pelajar lain.

Kesimpulannya, kualiti politik kampus di UKM adalah kurang sihat dan tidak patut untuk diteruskan di masa hadapan. Isu-isu ini perlu diambil kira dan diperbaiki sebaik yang mungkin demi menyediakan produk universiti yang baik dan mempunyai etika serta moral yang tinggi. Kematangan itu perlu dihayati bukan sekadar umur, tetapi sikap. Sekadar pesanan ikhlas, kalau nak masuk politik, bukalah buku dahulu baca apa itu politik. Bukan sekadar bergendang dan bangga apabila parti yang disertai menang atau menangis kerana parti yang disertai tewas.

 

 

 

Leave a Reply