Posted on

Mulakan Perniagaan dengan Pinjaman PTPTN

Kisah bermula pada penghujung 2013.

Ketika itu aku dapat masuk ke politeknik. Aku dapat juga tawaran sambung belajar di UiTM. Tapi aku pilih politeknik sebab ia lebih cool, yelah, bidang aku minat (dulu) kan, bidang Programming. Sebelum masuk politeknik tu, aku belajar di tingkatan 6, lepas tu aku faktab, aku drop. Bosan. Jadi waktu tu aku tolong kawan berniaga, dapat duit sikit. Dan aku ada juga jalankan perniagaan lain sikit.

Masuk je politeknik, ayah aku suruh apply PTPTN. Ayah aku yang isi borang online tu, aku tak tahu menahu. Masa pegawai PTPTN datang, aku kaget, aku nak atau tak sebenarnya PTPTN ni. Aku tahu kenapa ayah aku paksa aku ambil PTPTN, sebab dia nak aku guna duit sendiri untuk hal sendiri.

Jadi aku fikir, duit RM2500 ni kalau aku biar dan guna, dia akan berkurangan dan nilai dia tak akan bertambah. Waktu tu aku dah mula baca buku-buku indie, hampir tiap-tiap bulan aku beli online, waktu tu mana meriah macam sekarang beli online-online ni. Pada suatu hari yang tenang, aku terfikir sesuatu, kenapa aku tak jual je buku ni pada rakyat di sekitar ini?

Jadi pengembaraanku bermula. Aku survey semua kedai buku di bandar, memang betul jangkaanku, tak ada satu kedai pun yang ada jual walau sebuah buku dari penerbitan indie. Aku melihat pula faktor geografi (supply and demand) di situ, banyak je sekolah dan kolej di situ. Aku fikir dengan cergas, memang ada potensi kalau aku jual buku indie di situ.

Jadi, aku buat research untuk membeli buku-buku tersebut untuk jual. Lebih separuh duit PTPTN aku melayang waktu tu. Waktu tu aku bermula dengan buku Lejen Press sahaja. Bila buku tu sampai kat kolej, aku terfikir “ha sudah, macam mana aku nak jual buku sebanyak ini?”.

Waktu tu memang aku amalkan nasihat dari mak aku, “kalau nak berniaga, tak boleh malu”. Aku pun gamble je berniaga kat pasar Sabtu. Gila waktu tu. Aku bawa beg dua buah, kiri kanan pegang beg, penuh dengan buku. Bawa pakai tangan dari kolej sampai dengan pintu masuk, gila berat. Lepas tu naik bas shuttle untuk ke bandar, bawa dengan tangan je tanpa bantuan apa-apa dan tanpa bantuan siapa-siapa. Payung? Kerusi meja? Sebelum tu aku ada makan di satu kedai makan ni, aku tanyalah sama ada dia boleh tak bagi sewa kanopi dengan meja kerusi untuk aku niaga. Dia faham ekonomi mahasiswa, memang nak cari duit lebih, dia yang tak pernah bagi orang sewa tu pun bagilah aku sewa barang-barang dia.

Dari kedai dia, aku angkat sendiri kanopi berat gila tu, angkat papan meja, kerusi semua sorang-sorang. Buka sendiri. Pasar Sabtu tu bermula dalam pukul 9 pagi sampailah ke malam. Jadi untuk tidak sailang tapak orang lain, aku buka waktu tengahari, dan cari tapak kosong. Pernah juga majlis daerah datang serang, tapi aku dengan muka selenganya jawab balik “saya dah pergi majlis hari tu, dia cakap oleh sebab saya ni pelajar dan tidak kekal buka kanopi kat sini, jadi saya hanya perlu bayar duit tapak sahaja, tak perlu mohon permit”. Nasiblah pegawai tu faham. Kalau tak semua kena sita.

Ingat lagi waktu tu aku tak prepare semua barang secara lengkap, pertama kali buka. Aku lupa bawa alas meja. Gila apa aku pergi beli tikar yang kartun RM10 tu buat alas meja. Serius weh. Lantak la orang nak cakap apa pun.

Pertama kali buka memang dapat sambutan baik sebab budak sekolah, politeknik, universiti kat situ memang cari buku tu tapi tak ada kat situ. Jadi dengan rasminya akulah manusia pertama di situ yang menjual buku-buku tersebut. Waktu gamble macam tu pun aku boleh dapat RM400-600 sehari tahu. Siap aku call kawan aku lagi, kalau keluar pasar ni tolong pergi bilik aku ambilkan buku sekian-sekian.

Tak lama selepas tu, aku semakin pandai dengan sistem yang ada di politeknik. Maksud aku, bila ada event-event, memang selalunya akan ada tapak jualan. Untuk mahasiswa situ sewa tapak sekitar RM5-10 sahaja. Aku pun sama macam biasa bawalah sorang-sorang buku-buku tersebut ke tapak untuk buka booth. Banyak event aku masuk, secara haram dan halal. Secara haram tu bukan apa, tu event orang yang tertentu dalam kelab atau fakulti tu sahaja yang boleh buka booth, aku pi bantai komplot dengan kawan aku untuk letak nama dia, tapi aku yang jual. Masa tu aku dah ada nama booth, Konsortium Buku Celupar.

Lepas dari beberapa ketika, dalam setahun dua lepas tu, buku-buku lain pun turut ambil, seperti Lejen Press, Fixi, Sang Freud Press, Selut Press, DuBook Press dan Merpati Jingga. Waktu tu Fixi memang betul-betul naik, memang sekejap je lesap buku tu. Aku bukan beli dengan roll modal, tapi aku bermodalkan duit PTPTN setiap tahun. Ada juga buku-buku yang aku tak beli dengan duit PTPTN tetapi dengan duit modal buku sebelumnya, tapi tu untuk buku bestseller sahaja.

Kawan aku pernah kata kat aku “Naim, kau ni mulut manis tau. Bila kau menyampaikan sesuatu, tendency untuk orang percaya dan ikut tu adalah tinggi”. Memang, banyak dah pengalaman aku dengan customer sendiri yang aku bercakap dengan gaya tangan sekali ibarat berpidato. Kau ingat mudah nak terangkan ‘buku-buku celupar’ ni kepada orang yang tak pernah baca buku macam ni?

Pernah satu hari tu ada event di politeknik tu, serentak 3 event berjalan. Aku cuba minta tapak pada event A. Yang celakanya siswa yang handle event tu boleh tipu aku. Dia elok je cakap kat aku “maaf bang, penganjur dah ada jual buku, jadi kami tak terima orang yang nak jual buku”. Lepas tu aku borak dengan exco kolej, dia bagi tahu aku sendiri yang budak tu tipu, budak tu tak nak aku jual sebab aku jual ni buku-buku tak elok. Dengan cemerlangnya aku manusia tu dalam Facebook aku.

Aku maki dia bukan sebab dia tak bagi aku jual, tapi sebab dia tipu aku. Jadi aku pergi ke event B, event B tu dua hari rupanya. Hari pertama sahaja aku dapat kutipan sebanyak RM1000. Hari kedua dalam RM300. Memang hari raya la aku waktu tu.

Rolling modal PTPTN ni memang tough sebenarnya. Mula masuk semester baru, dapat duit, aku ambil lebih separuh untuk buat modal. Start semester, aku memang jadi miskin. Lepas dapat buku, aku jual. Akhir semester, kebanyakan kawan aku impress bagaimana aku dapat hidup mewah sebegini sebab mostly kawan-kawan aku dah habis duit PTPTN mereka. Aku? Aku cakap pada mereka “duit PT aku tak sentuh lagi”.

Benda pertama aku buat bila dapat untung ialah beli iPhone sebab aku bosan dengan Android. Sekarang kalau kira aku dah beli 3 buah iPhone hasil titik peluh aku jual buku sahaja.

Risiko? Ada. Risiko paling besar ialah buku tu tak terjual. Sebab buku tu bukan consign, tapi aku beli dengan harga agen, dan aku jual dengan market price. Jadi buku tu tak boleh return, buku tu hak milik aku.

Perniagaan aku dari hari ke hari semakin maju, aku dapat beli banner/bunting 3 buah, (dan of course alas meja baru), buat Instagram, buat page di Facebook, jual beli online, COD di bandar.

Perubahan ketara bila aku sudah ada nama di situ, aku tak perlu lagi merayu bagai untuk ambil tapak, awal-awak lagi penganjur dah ajak aku buka booth. Selain muka aku yang comel ni, aku di sana memang figure, sebab kalau ada mana-mana event yang melibatkan persembahan, aku memang take part untuk deklamasi puisi. Waktu tu empayar aku besar dan berpengaruh. Gila ujub aku ni. Tapi betul, siapa tak kenal Naim AlKantani si penjual buku celupar.

Dari semester satu hingga lima aku di situ, modal aku boleh dikatakan hanyalah duit PTPTN tersebut. Aku invest dalam bentuk perniagaan. Waktu tu memang aku tak minta langsung duit mak ayah aku untuk beli apa-apa kecuali bayar yuran (sebab yuran aku kena bayar sebelum aku masuk belajar, maksudnya sebelum dapat PTPTN semester itu).

Moral dari hikayat ini satu je, kau nak berniaga, kau jangan malu. Kalau kau tak malu, kau akan gamble je. Serius. Lepas tu satu lagi, kau nak berniaga, kau berniaga saja, beli barang-barang, dan mulakan perniagaan. Sebab bagi aku macam ni; kalau kau dah ada barangnya dan barang itu modal kau sendiri atau modal yang banyak, bagaimana sekalipun kau akan passion untuk jual juga barang tu.

Masa aku kaya, ramai juga mahasiswa/i yang minta pendapat, khidmat nasihat, tips dari aku untuk memulakan perniagaannya. Kata mereka aku ni inspire them to business.

Mulakan perniagaan anda apa yang ada. Seriously aku bagi satu perkara yang aku tak pernah lupa dan memang memalukan kalau orang tahu; aku pernah nak pinjam kereta tolak makcik café untuk letak barang aku nak pergi ke tapak booth di dalam kolej tu sebab buku-buku aku banyak gila, berkotak-kotak. Makcik tu bagi, aku pergi la belakang nengok kereta tolak tu, lah! Kereta tolak ni guna untuk letak sampah rupanya. Tapi bersih lah.

Aku dengan tak malunya letak surat khabar sikit, lepas tu tolak je la sampai dalam blok akademik sorang-sorang. Budak-budak pandang aku pelik je waktu tu. Tapi aku pegang, mula dengan apa yang ada. Lepas aku jadi Presiden Kelab Perpustakaan Siber-lah baru aku dapat pinjam troli barang dari perpustakaan tu. Jadikan business kau tu benda yang kau minat. Aku minat buku, aku jual buku. Walaupun tak semua buku yang aku jual tu aku dah baca, tapi bila ada passion dan minat, semua boleh jadi. Jangan stress waktu berniaga, enjoy je. Sampai kawan aku pun pernah cakap “kau ni berniaga ke main-main?”. Aku bukan main-main, aku enjoy.

Aku tak create a job, tapi aku buat kerja tu. Makin lama aku buat, makin banyak aku dapat belajar. Pengalaman paling mahal yang takkan aku lupa ialah bila aku dapat meyakinkan seseorang yang tak pernah baca novel/buku, dia beli buku aku walaupun sebuah. Kelebihan yang ada pada diriku aku guna sebaik mungkin; aku kelakar, aku boleh attract orang terhadap sesuatu topik, aku reti bercakap, aku banyak cable, dan paling penting aku comel.

Kalau kau nak mulakan perniagaan, jangan fikir, waima nak jual popcorn sekalipun, mulakan apa yang ada, gunakan kelebihan yang kau ada. Nak nasihat, aku boleh bantu sikit, umur aku sekarang baru 21 tahun ini, tapi pengalaman aku berniaga dalam ranjau dan duri ini mengajar aku erti dan serba sedikit erti perniagaan.

 

Naim AlKalantani
ThePortBuku

One thought on “Mulakan Perniagaan dengan Pinjaman PTPTN

  1. Nice tread. Sharing yang bagus. Kalau ada lebih boleh lah buat niaga. Jangan sibuk berbusiness, belajar terabai. Apa pun memang bagus!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *