Oleh: Herinza Syadza

Bulan September menjenguk kembali. Setiap kali ada sejumlah mahasiswa dan mahasiswi baru yang melangkah ke satu lagi fasa kehidupan, sesekali terimbas kembali kenangan ketika aktif bergiat dalam aktiviti kampus. Jauh kurenungkan aspirasi mahasiswa dan mahasiswi setiap kali  September menjelma. Baik yang baru mahupun yang lama.

Pabila aku melangkah ke pintu masuk menara gading beberapa tahun yang lepas, aku ditemani ayah dan bonda. Tak semua bernasib baik seperti aku yang berpeluang untuk pergi sejauh ini, dan ditemani oleh insan yang menjadi inspirasi perjuangan untuk kelangsungan hidup. Masuk, melangkah ke kolej kediaman paling mega di kampus aku, kenal sedikit sebanyak para senior yang bertugas sebagai fasi, kenal rakan sebilik dan serumah, dan bermulalah sesi orientasi.

Tak cukup tidur, ceramah-ceramah keselamatan dan pinjaman pendidikan, lawatan ke fakulti, lawatan ke perpustakaan dan macam-macam lagi pusat, menyertai pertandingan debat mega di minggu orientasi dan memenangi piala tersebut buat julung kalinya untuk kolej kediamanku. Indah betul memori ini apabila dikenangkan semula. Kerana di situlah aspirasi aku bermula.

Apabila aku melangkah keluar dari minggu orientasi, aku disambut dengan kelas-kelas yang bersilih ganti, para pensyarah yang tegas namun baik hati, serta rakan-rakan sekelas dengan gelagat yang mencuit hati. Kelas-kelas yang bermula dengan jumlah yang besar, saban minggu makin mengecil. Aku bertanya, ke mana rakan-rakan ini? Mereka katakan, “ah, boleh tolong sign attendance.” Kemudian musim pilihanraya kampus bermula. Musim pilihanraya umum, pertama kali mengundi, aku terpana.

Oh, aku kenal abang senior ini masa musim orientasi, jadi aku pangkah. Itu sahaja yang aku tahu tentang politik. Kenal, popular, dan terus undi. Kemudian disambung dengan pilihanraya kolej kediaman. Seperti sebelumnya; kenal, popular dan terus pangkah. Aku tidak pernah fikir panjang. Bagi aku, pergi mengundi adalah untuk mendapatkan markah aktiviti, atau nama popularnya, mata merit.

Untuk apa mata merit ini? Ia amat popular dalam kalangan penghuni kolej kediaman, berfungsi untuk mendapatkan tempat di kolej kediaman pada semester hadapan. Jadi aku beransur sedikit  demi sedikit untuk menyertai pelbagai aktiviti kolej, meskipun harus bangun pagi untuk senamtari, atau bergegas lepas kelas petang untuk aktiviti kelab kebudayaan. Yang  lain, menyertai aktiviti sukan, atau bergiat aktif di surau.

Aktiviti di fakulti jarang kedengaran, lebih-lebih fakulti aku yang terkenal dengan kepetahan berbicara dan mulut yang berbuih dengan fakta. Selepas Majlis Tertinggi pimpinan kolej dibentuk, pemilihan jawatankuasa dijalankan secara temuduga, antara ahli Majlis, Pengetua Kolej dan Warden (di kolej aku mereka dipanggil Felo). Temuduga ini kalau kau bernasib baik, rapat ataupun cantik, mudah saja kau dilantik. Ya, aku berjaya mendapat tempat, bukan sebab tersebut, tapi kerana aku mempunyai kerangka badan yang besar untuk menjaga keselamatan kolej!

Sebagai ahli jawatankuasa, kau kemudiannya diminta merancang aktiviti pelajar untuk dua semester berturut-turut. Kertas kerja harus dihantar sebulan atau dua bulan sebelum aktiviti berlangsung, untuk mendapatkan tandatangan dari setiap satu hierarki birokrasi. Bermakna, berkejaranlah kau dari pejabat pensyarah dan warden, ke pejabat kolej, ke pejabat kemajuan pelajar, ke pusat aset dan macam-macam bahagian yang wujud dalam kampus untuk memperoleh kebenaran.

Sewaktu aku memegang portfolio Keselamatan dan Kebajikan, aktiviti wajib kami ialah latihan kebakaran pada pukul 2 pagi dan mengeluarkan semua pelajar dari bilik masing-masing tanpa sebab, ceramah keselamatan, ekspo  dari pelbagai agensi keselamatan dan kesihatan, menjaga kebajikan pelajar sakit tengah malam dan menemani mereka di hospital dan macam-macam lagi. Jangan terkejut ya, pelajar katilnya patah dan jatuh juga aku yang terpaksa pergi. Tapi ini semua untuk apa? Kerana kau akan mendapat privilege iaitu lampu hijau untuk kekal di kolej kediaman.

Dan apabila rakan-rakan yang lain sudah berusaha mencari rumah sewa di luar, bergelut di dalam bas yang kadang ada kadang tak kunjung tiba untuk ke kelas, kau masih di dalam kolej kediaman, dilimpahi kesenangan. Kemudian aku beralih ke jawatan Majlis Tertinggi, kerusi yang utama sekali. Apabila aku berada di bawah aku cuma ikut telunjuk mereka.

Apabila aku berada di atas, aku melihat pincangnya sistem dan kelewahan dalam menjalankan aktiviti. Dalam jawatankuasa yang aku ketuai, aku disertai rakan-rakan yang mempunyai kemahiran yang pelbagai. Kelebihan dalam bidang kebudayaan, merentasi jurang birokrasi, rapat dengan ahli surau, kebijaksanaan dalam keushawanan, ketekunan dan kesabaran mereka adalah suatu nikmat buatku. Mudah sekali bekerjasama.

Aku ingat lagi program pilot kami yang pertama, ialah sebuah rancangan bual bicara dengan seorang penceramah yang terkenal juga. Namun, amat sukar untuk mendapatkan audiens yang akan menghadiri acara seperti ini, kerana tidak menarik, bosan, dan merupakan aktiviti yang kurang digemari. Kami kemudiannya menyebarkan poster dan risalah di seluruh kampus untuk mengalakkan mahasiswa dan mahasiswi datang, dan syukur pada Tuhan, dewan itu penuh. Namun apa yang aku ingat daripada program tersebut adalah penceramahnya yang meneruskan aktiviti tanpa protokol, dengan sweater dan jeans, di atas pentas.

Tepat pada waktu. Sedangkan dewan pada ketika itu cuma ada suku dari jumlah audiens penuh. Setengah jam kemudian, program  sudah berlangsung, barulah para mahasiswa mahasiswi masuk. Penceramah tersebut ketawa pada mereka dan berkata “Seronok ke lambat? Kamu sudah ketinggalan banyak ilmu kerana tidak mematuhi masa. Sesungguhnya kamu dalam kerugian. Demi masa, ingat tu,” dan mereka pun tersipu-sipu.

Kemudiannya apabila aku mencadangkan aktiviti kebudayaan, tanpa disuruh-suruh atau bertungkus lumus mengadakan promosi, berduyun-duyun yang hadir. Aduh, hairan. Garu kepala dibuatnya. Aku bukan iri, aku cuma pelik. Apa bezanya? Mungkin kerana aku gemarkan program-program ilmu, justeru aktiviti kebudayaan bukanlah sesuatu yang aku sukai. Tapi masih aku bertanya sampai sekarang, apa bezanya? Kemudian aku sulami dengan aktiviti surau, graf kehadiran menurun lagi.

Aku anjurkan senamtari awal pagi, ramai pula yang bangun! Kemudian aku bawakan lebih banyak rancangan bual bicara, dengan bantuan senior-senior fakulti yang membawa wacana kritikal pun, graf kehadiran merosot. Tak ramai yang berminat. Yang hadir pun tersengguk-sengguk, antara faham dan mengantuk. Dalam kolej kediaman juga, ada golongan yang langsung tidak ambil kisah dengan aktiviti kampus. Apabila hujung semester tiba, mereka dengan senang hati keluar dari kolej kediaman, dan tinggal di luar kampus. Kelas semakin jarang pergi, susah dapat bas katanya. Lalu kelas semakin lama semakin lengang. Di perpustakaan, buku-buku sudah berhabuk dan sejuk ditiup penghawa dingin.

Aku hairan pada aspirasi mahasiswa. Mungkin mereka sudah terbeban dengan kuliah yang serius dan memenatkan, sehingga memilih untuk menyertai hanya program-program hiburan. Selepas itu, balik, tidur. Bangun, ke kuliah, balik, tidur. Sebegitulah rutin biasanya. Bagi aku, perkara ini menjengkelkan. Banyak yang mampu kau lakukan di kampus untuk mewarnai memori-memori serta mempertingkatkan ilmu dan pengalaman. Tak semua yang kau pelajari dalam kelas teori itu cukup. Aku sudah puas menghadapi ranjau duri pengurusan dan birokrasi, sebab itu aku faham kenapa ini boleh dan tidak boleh dan bagaimana membolehkannya.

Aku bertanya, kenapakah kau memilih untuk menjadi mahasiswa?

 

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengirim dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Nadi Mahasiswa.

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply