oleh Rien Sd

Apa khabar mahasiswa baru? Bagaimana kamarmu, bilik kuliahmu, nota-nota kuliahmu dan teman-teman barumu? Semoga baik-baik hendaknya.

Sebelum pergi jauh, eloklah saudara-saudara tidak menerima bulat-bulat nasihat Prof. Madya Dr. Hanudin Amin, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), yang katanya; “rebut peluang yang disediakan pihak universiti untuk menimba lebih banyak ilmu khususnya yang berkaitan akademik. Jangan babitkan diri dengan kegiatan yang boleh menjejaskan nama baik keluarga dan universiti” seperti yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Borneo, beberapa minggu lalu.

Ketahuilah bahawa kegiatan yang tidak menjejaskan nama baik universiti dan keluarga adalah menjadi mahasiswa patuh, bisu dan bebal apabila universiti menjadi korup dan masyarakatnya bersorak sarai menyokongnya. Nampaknya, bukan semua nasihat akademia yang duduk menjadi intelektual tukang di kampus itu benar belaka. Begitu juga abang/kakak mahasiswa yang paling mahir selok belok kampus dan kumpulan mahasiswa Islam yang paling taat kepada Tuhan. Mereka ini akan mendatangimu lagak seorang nabi yang menyantuni si budak, Bilal. Sekiranya mereka melihat engkau kurang Islam, maka mereka akan meluruskannya, membuat koreksi ke atas imanmu dan memutuskan keputusan yang baik untuk perjalananmu sebagai muslim yang soleh di kampus.

Adakah saudara-saudara sudah bertemu dengan sekumpulan mahasiswa taat seperti ini? Yang paling mengenal Tuhan, yang kerap menyebut-nyebut sirah nabawiyyah di dalam musollah, yang duduk berbulat bercakap tentang akidah & perjuangan sambil memetik-metik sabda sang pejuang Syed Qutb, Imam Hassan Al Banna, Mustafa Masyhur, Fathiyakan dan Maududi? Yang paling mahir bicara tentang negara Islam, al wala’ wal bara’, muwasofat tarbiyah, arkanul bai’ah, kekolotan dan kekufuran barat, kesesatan dan penyimpangan kelompok liberal?

Sekiranya belum atau saudara-saudara belum didatangi, maka ketahuilah, sekarang ini mereka sedang menyusun-nyusun manhaj tarbiyah yang paling canggih dan terbaik sebagai rempah ratus dalam sebuah sel perkaderan yang akan menarik dan memikat hati saudara-saudara iaitu usrah.

Usrah Kampus & Mahasiswa Islam

Saya tidak mengatakan fenomena (untuk konteks ini-fenomena baru kepada mahasiswa baru) usrah ini baru berlangsung, bahkan usrah dalam kalangan mahasiswa sudah beroperasi sejak zaman Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) semisal Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang kemudiannya muncul pula Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sebagai pressure group  anak muda ditubuhkan.

Saudara-saudara, usrah kampus kalangan mahasiswa pada period ini- pasca AUKU- sudah mula menjadi sel utama untuk projek perkaderan. Tersusun dan memiliki tanzimnya. Usrah adalah sel untuk merekrut anggotan kumpulan, menyumbat fikrah gerakan kemudian anggota yang paling jelas, izhar dan tiada kekaburan fikrahnya, yang mula terhidu semangat harakinya akan terpilih menjadi ahli gerakan yang rasmi.

Kerja-kerja rekrut beginilah yang menyebabkan gerakan mahasiswa Islam merosot teruk, tersungkur jatuh ke tanah. Kalangan GMI bergaduh dengan gaya yang paling keanak-anakan, kerana berebut anak usrah, anak ikan yang bakal dilatih dengan perkakas-perkakas haraki yang paling canggih.

Namun, tulisan ini bukan bertujuan untuk bernostalgia dengan sejarah usrah kampus, gerakan mahasiswa Islam bagai. Hari ini, untuk pengetahuan saudara-saudara mahasiswa baru, usrah kampus ini masih menawarkan projek yang sama.

Mereka ini selalunya, perkerja-pekerja parti Islam di luar kampus. Untuk konteks ketika ini- pasca perpecahan Pakatan Rakyat dan perpecahan PAS- mereka ini samaada mahasiswa Islam PAS atau mahasiswa Islam AMANAH. Ada juga IKRAM, ISMA, PEMBINA dan berpuluh lagi kumpulan mahasiswa Islam turut membuat kerja-kerja perkaderan di kampus melalui sel usrah.

Mereka ini akan berbicara dengan gaya yang paling muslim, yang paling matang dan sejahtera dan kadangkala berbunyi progressif acah-acahan. Ada kalangan mereka yang tak habis-habis menjustifikasikan bangsa melayu sebagai bangsa paling kudus dan sakral di muka bumi. Semua mereka ini, merujuk mushaf yang sama, menyembur sabda-sabda nabi yang paling sahih, athar para sahabat tentang perjuangan.

Ada kalangan mereka ini, tidak meminta kita untuk membaca buku daripada aliran dan fikrah yang berbeza. Mereka seakan mengetahui batas iman-kufur dengan cermat. Wacana mereka berlegar seputar gerakan Islam ala Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami. Tentang wahdatul fikr (kesatuan pemikiran) tanpa menyedari, mereka telah melahirkan manusia anti-kepelbagaian, yang bersifat pluralistik. Projek menyelaraskan pemikiran inilah yang paling rancak dikerjakan dalam sel usrah. Saudara-saudara diminta bergaul sesama sendiri. Menjadi beku, bisu dan tua sebelum usia.

Doktrinisasi & Anti-Ilmu

“Untuk mengenal siapa yang menguasai diri anda, carilah siapa yang melarang anda mengkritiknya” (Voltaire)

Saya tidak tahu, adakah lagi gerakan mahasiswa Islam yang tahan kritik? Saya lebih gemar dengan pembawakan PKPIM- yang seingat saya beberapa tahun lalu diketuai oleh Fazril Saleh. Sewaktu saya menjadi demonstran dalam Bersih 4.0, presiden PKPIM ini berucap sambil mengkempenkan anak muda dan mahasiswa untuk sentiasa membawa buku ketika himpunan.

Saya tidak tahu, mengapa akhir-akhir ini budaya intelektual sudah tertanggal dalam gerakan mahasiswa Islam. Mereka mula mewajahkan gerakan mahasiswa sebagai gerakan anti-ilmu. Tanyalah buku apa yang mereka telaah dalam usrah, berapa banyak ideologi yang mereka wacanakan, atau kenalkah mereka dengan Ali Syariati, Asghar Ali, Tjokroanimoto, Kuntowijoyo, Haji Misbach yang menawarkan idea kiri Islam, yang lebih radikal dan menentang (resist) ataupun pemikir lokal semisal SN Al Attas, Syed Hussein Al Attas,  tentang kebudayaan, sastera, politik idea dan lain-lain?

Bagaimana pembacaan falsafah dalam usrah, adakah mereka masih membincang tentang Ibnu Sina si pakar agama dan perubatan, sedangkan pemikir ini dikenang-kenang kerana mereka menjadi manusia nahdah (meminjam istilah Anwar Ibrahim dalam Gelombang Kebangkitan Asia) yang tercerahkan dan polymath? Bagaimana dengan Ibnu Rusyd (meninggal 595H), antara pemikir yang menyumbang besar dalam zaman pencerahan eropah, yang cuba merasionalkan agama dan disegani oleh lawan?

Adakah karya-karya sastera (tempatan sekurang-kurangnya) mendapat tempat dalam usrah? Adakah mereka membaca satira politik oleh SN Shahnon Ahmad? Kritik sosial dan politik yang tajam dan keras. Bagaimana pula debat-debat teologi, siri pemikir-pemikir pembaharuan Islam dan sejarah tamadun asia-barat? Adakah mereka masih anti-barat secara total dan menolak segala yang datang dari sana?

Saya tidak menafikan, misalnya PKPIM lebih terbuka untuk mewacanakan literatur daripada aliran berbeza. Menurut Dr. Siddiq Fadzil, pengerusi Institusi Darul Ehsan (IDE) dalam sebuah pembentangan tentang Pembudayaan Ilmu & Misi Pencerahan Rakyat, antara yang memperkenalkan dan membawa masuk karya Paulo Freire (seorang ahli pendidikan Brazil), Pedagogy Of The Oppressed (Pendidikan Kaum Tertindas) ke dalam dalam ABIM sekitar 70-an dahulu adalah Anwar Ibrahim. Mereka telah mewacanakan pelbagai aliran pemikiran, idea-idea dari seberang dan yang berseberangan dengan konsep asal gerakan mereka ketika itu. Walaupun, ya, pada tahun 1982 ketika Anwar Ibrahim memasuki UMNO, ABIM yang dipimpinnya sebelum itu turut berkocak dan mula menjadi lunak dan jinak kepada pemerintah. Begitu juga halnya dengan PKPIM.

Walaubagaimanapun, kumpulan mahasiswa Islam hari ini, perlu berhenti dengan retorik Islam tak Islam. Usrah tidak perlu menawarkan projek indoktrinasi lagi. Ini bukan lagi zaman primitif yang menggunakan burung untuk berbalas-balas surat. Untuk kekal relevan, usrah kampus perlu melacak idea-idea yang pluralistik, memuatnaik wacana-wacana barat dan asia, merespon isu dengan kritikal bukan sekadar pasang siap menggunakan dalil-dalil agama.

Para nuqoba, pemimpin-pemimpin usrah perlu insaf dari menjadi muslim yang terbaik di hadapan ahli usrahnya. Memperbudak dan menyebabkan ahli usrah ataupun anggota gerakan mahasiswa Islam terbenam dalam budaya bisu (submerge in a culture silence). Berhenti membodohkan, mengungguli tafsir, merasa superior dan membanding-bandingkan aras iman dengan orang/aliran lain. Mengulang-ulang kepentingan amar ma’ruf (menyeru kepada baik) dan nahi munkar (mencegarah daripada mungkar) dalam ayat 104, Surah Ali Imran dan keperluan berjemaah dalam ayat 4, Surah As Saff tanpa mengaitkannya dengan konteks kini dan menggunakannya untuk mengumpul anggota ataupun yang paling teruk, mendiamkan ahli usrah yang noob. Ya, wajarlah kita diam bila dibacakan ayat suci al Qur’an walaupun sebenarnya kita tidak mengetahui makna sebenar ayat tersebut. Lebih-lebih lagi bunyinya arab, mudahlah anak usrah terpegun.

Dan, tanpa bersikap prejudis, saya kira perlu dipuji usaha Persatuan Anak Muda Islam (PAMI), yang merupakan kumpulan mahasiswa Islam PAS, walaupun tiada klaim rasmi, kerana membudayakan wacana sosial yang menyentuh ranah politik, masyarakat dan agama. Yang lebih menarik, ianya digerakkan kalangan anak muda dan mahasiswa. Menulis dan memberi e-book secara percuma.

Khatimah

Satu hakikat yang perlu disedari oleh para amilin mahasiswa Islam (di luar kampus mereka adalah amilin gerakan Islam/parti Islam), hari ini, untuk membentuk kekuatan dan untuk kekal relevan, mereka perlu bersiap dengan pertarungan idea dan tahan wacana. Tidak statik, beku dan berkulat. Mereka perlu bercakap hal yang bersangkutan kontekstual, tanpa terperangkap dalam teks yang ditulis berpuluh-puluh tahun oleh Syed Qutb di Mesir ketika dalam penjara misalnya.

Ketika mahasiswa-mahasiswa Islam ini membawa label agama, ianya sebentuk tanggungjawab yang berat. Ini bukan gelanganggan untuk mahasiswa Islam yang cengeng, kuat merengek dan merajuk. Tidak bersetuju dengan satu gagasan, maka berlawanlah dengan ilmiah.

Sekiranya ini terjadi, nescaya usrah kampus tidak lagi menjadi sel pembodohan. Dan, sekiranya usrah kampus dan kumpulan mahasiswa Islam ini masih menjadi nabi acah-acahan, yang menentukan batas iman dan kufur, dan kerap melarang-larang (bak kata A. Samad Said; kita diasuh mendakap kepalsuan), mencemuh aliran lain; tinggalkanlah mereka, lambaikan tangan dan ucap selamat tinggal !

 

 

Leave a Reply